BeritaRBTag: Kerajaan disyor beri pelepasan cukai

RBTag: Kerajaan disyor beri pelepasan cukai

KLUANG – Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menyarankan agar kerajaan dapat memberikan pelepasan cukai kepada majikan di sektor swasta yang mengambil langkah proaktif melaksanakan ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag).

Pengerusi MCCF, Datuk Seri Halim Ishak berkata, menerusi inisiatif tersebut, ia dapat menggalakkan lebih banyak pihak terutama syarikat swasta menjalani ujian psikometrik RBTag yang mempunyai keberkesanan mengetahui tahap kecenderungan terhadap rasuah.

Beliau yang juga Ketua Team RBTag menambah, langkah pihak swasta untuk melaksanakan ujian psikometrik RBTag adalah selaras dengan komitmen penuh kerajaan dalam menangani gejala rasuah di peringkat nasional.

Menurut beliau, bukan sahaja bersama-sama dengan pihak kerajaan mencegah amalan rasuah, usaha syarikat atau pihak swasta melakukan RBTag mampu meningkatkan integriti dalam kalangan warga kerja masing-masing.

Sehubungan itu, beliau mewakili MCCF mengucapkan syabas kepada seluruh barisan pimpinan parti politik dan kerajaan yang menyatakan pendirian untuk memerangi rasuah di dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

“MCCF bersama pasukan Rasuah Busters telah menjalankan ujian psikometrik RBTag kepada calon-calon yang bertanding pada PRN Melaka sebelum ini dan kali ini di PRN Johor dan sambutan adalah sangat menggalakkan daripada parti politik yang ingin menyenaraikan calon bersih untuk bertanding.

“Untuk itu, MCCF menyarankan agar kerajaan dapat memberikan pelepasan cukai kepada majikan swasta yang ingin turut sama menjalankan RBTag yang dilihat penting menilai tahap kecenderungan terhadap rasuah dan salah guna kuasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Halim berkata, badan terlibat seperti Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) seharusnya menyokong syarikat atau pihak swasta yang ingin melakukan ujian psikometrik RBTag.

Beliau memberitahu, HRDF perlu mengalakkan syarikat-syarikat yang berdaftar untuk mengadakan ujian RBTag kepada warga kerja masing-masing.

“Diharap HRDF boleh membenarkan syarikat swasta menggunakan dana latihan mereka untuk mengadakan ujian psikometrik RBTag ini kepada warga kerja.

“Ujian seumpama ini merupakan satu bentuk memperkasakan lagi aspek pembangunan modal insan terutama daripada sudut integriti,” katanya.

Dalam pada itu, Halim berkata, MCCF juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani yang bersetuju untuk melaksanakan ujian psikometrik ke atas warga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Integriti dan Pemantuhan Standard (JIPS) sepertimana yang diumumkan oleh Pengarah JIPS, baru-baru ini.

Beliau berharap ujian psikometrik RBTag akan dapat diguna pakai, malah diimplementasikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara menyeluruh demi meningkatkan integriti pejawat awam di negara ini.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy