BeritaSegera jadikan SPRM institusi bebas

Segera jadikan SPRM institusi bebas

SHAH ALAM- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diubah dan dijadikan satu institusi bebas dengan kadar segera bagi membolehkan ia menjalankan siasatan secara bersendirian tanpa melibatkan pihak luar.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi, Cynthia Gabriel berkata, ini kerana, SPRM pada ketika ini masih lagi dikawal dan takut untuk melakukan sebarang tindakan atau siasatan kepada golongan tertentu.

“Pada saya, SPRM adalah institusi yang perlukan reformasi secara menyeluruh. Dan ia perlu dilakukan sekarang. SPRM perlu menjadi institusi bebas. Sekiranya ada masalah besar, mereka lebih atas dan boleh siasat apa sahaja kes.

“Isu ini masih tidak ditangani oleh mana-mana kerajaan. Pakatan Harapan (PH) semasa memerintah ada peluang untuk membawa reformasi kepada sistem institusi. Namun tidak terjadi,” katanya semasa Kompas Rasuah Busters yang bertajuk SPRM: Integriti Yang Hilang yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan dan Exco Kerajaan Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Kemuning, V Ganabatirau manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut, jelasnya, selain SPRM, institusi kehakiman juga perlu dijadikan badan bebas agar ia tidak mudah dipengaruhi oleh politik, bisnes dan sebagainya.

“Dua institusi ini kena bebas. Institusi ini kena kuat dan tidak takut langsung kepada siapa-siapa. Apabila telah bebas, institusi ini lapor kepada Parlimen untuk mendapat sokongan kewangan. Bukan lagi dari Jabatan Perdana Menteri dan sebagainya,” ujarnya.

Tambahnya, satu undang-undang berkenaan dana politik perlu ditubuhkan bagi memastikan tiada penyelewengan dan penyalahgunaan kewangan tersebut.

“Ada banyak unsur wang yang masuk dalam akaun politik dan tidak ada akauntabiliti. Jadi, melalui ini, parti boleh guna pelbagai cara untuk menang dalam pilihan raya termasuk beri rakyat wang, subsidi, tarkan jalan,” katanya.

Menurutnya lagi, sistem dan undang-undang di negara berkenaan rasuah perlu lebih diketatkan lagi kerana ia dilihat ramai yang mampu untuk memanipulasi sistem untuk mendapatkan sesuatu yang diperlukan.

“Rakyat kena bagi tekanan supaya pihak politik dan korporat menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk jalankan dan mengetatkan sistem yang ada di negara ini,”katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy