BeritaSegera jayakan pelan NACP

Segera jayakan pelan NACP

SHAH ALAM – Pihak berkepentingan dalam menjayakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 perlu menyegerakan sinergi bersama dengan memaksimumkan usaha sama agar pelan itu dapat dilaksanakan seperti dirancang.

Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, dengan tempoh yang berbaki ini, adalah masa untuk semua pihak melaksanakan sinergi dengan melibatkan pelbagai agensi dalam mengenal pasti watak-watak yang perlu diketengahkan dalam mencapai objektif seperti digariskan oleh pelan antirasuah berkenaan.

“Ia sebagai satu jalan transformasi, kita percaya ia akan menjadi salah satu titik tolak untuk kita menjenamakan semula pelan itu, bersama semua pihak agar kita dapat menambah baik dan merangka semula strategi.

“Kita tetap ingin laksanakan pelan itu, yang saya tekankan ialah impak pelan berkenaan supaya objektifnya tercapai, kita di Rasuah Busters juga menekankan peri pentingnya pelaksanaan NACP ini,” katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai pelan berkenaan yang dikatakan setakat ini hanya mencapai 37 atau 33 peratus yang berjaya diselesaikan daripada 111 inisiatif.

Berbaki setahun lebih lagi inisiatif berkenaan dikhuatiri tidak dapat mencapai matlamat pelaksanaannya menjelang 2023.

Jelas Nurhayati, meskipun berhadapan kemungkinan tidak akan mencapai pelaksanaan menyeluruh pada 2023, beliau tetap percaya bahawa pelan itu tetap akan mencapai objektifnya jika ada usaha penambahbaikan.

“Kita percaya beberapa perkara harus kita teliti semula. Ini berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah kita, dengan kita berhadapan Covid-19 hampir dua tahun dan pelbagai perkembangan terkini dalam negara yang seharusnya kita lihat, bagaimana kita harus menyusun semula inisiatif yang telah dilaksanakan tanpa kita meninggalkan objektif strategik yang telah digariskan semasa NACP 2019-2023 dirangka,” tambahnya.

Hal itu juga, menurut beliau, bertujuan untuk mengurus dan merungkai risiko-risiko yang berkemungkinan terjadi akibat daripada kelewatan perlaksanaan NACP.

“Jadi kita harap dengan rangka strategik ke arah perlaksanaan penuh NACP struktur governans dan integriti negara dapat dipulihkan dengan segera,” tegas beliau.

NACP dibangunkan dengan tema ‘Memecah Rantaian Rasuah’ merupakan pelan yang akan dilaksanakan kerajaan dalam tempoh lima tahun.

Pelaksanaan pelan antirasuah itu dibangunkan oleh Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC).

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy