BeritaSemua parti perlu ubah konsep, minda untuk hindari rasuah

Semua parti perlu ubah konsep, minda untuk hindari rasuah

SHAH ALAM – Semua parti politik perlu berubah dari segi konsep dan minda serta kembali kepada ajaran agama bagi memastikan gejala rasuah secara besar-besaran tidak berlaku lagi dalam kalangan ahli politik.

Penasihat Kehormat Pusat Islamisasi Ilmu Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Muhammad Kamal Hassan berkata, ini memandangkan budaya yang diamalkan dalam setiap parti politik telah rosak dan bertentangan dengan pandangan Islam.

“Saya merasakan, budaya kita dan politik sudah rosak. Jadi kita mesti bermula dengan perbaiki budaya politik. Perubahan minda dan konsepsi tentang politik juga perlu diubah.

“Kena balik semula kepada pandangan Islam. Dalam ini, anda pemimpin hebat atau tinggi, pokoknya anda ialah hamba ALLAH yang ditugaskan menjadi khalifah yang menjaga alam dan bumi sesuai dengan kehendak ALLAH.

“Bagi saya, ini konsep asas dan kita kena kembali kepada asas. Jika tidak, kita akan terus lupa dan sesat di tengah jalan,” katanya dalam Agenda Awani yang bertajuk Hipokrasi dan Korupsi Dalam Politik Melayu-Islam? pada malam Rabu.

Muhammad Kamal berkata, graf rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara ini terus meningkat sehingga menjadi barah dan ia perlu dibanteras dengan segera.

“Rasuah terus berlaku kerana yang terlibat ini melihat kepada kepentingan diri, keluarga, kroni atau parti lebih besar daripada masalah dosa dan pahala,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya ia tidak dicegah, lebih ramai kleptokrat yang menyalahgunakan ajaran atau menggunakan kepentingan agama sebagai alasan untuk melakukan perbuatan demikian.

Dalam perkembangan sama, menurut beliau, bukan sekadar golongan atasan sahaja, pengikut parti juga perlu dididik dengan cara yang tepat untuk memastikan tidak terlibat dalam perbuatan rasuah.

“Saya fikir dalam budaya politik hari ini, pengikut tidak didedahkan dengan satu sistem didikan akhlak yang sesuai dengan politik. Kita boleh semak dengan setiap parti, adakah mereka buat satu sistem pendidikan akhlak untuk pengikut.

“Pengikut juga kena berubah secara menyeluruh dan parti itu sendiri perlu diperjelaskan dari pandangan Islam,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya gagal dalam membasmi rasuah, ia akan memberikan kesan yang negatif terutama dari segi ekonomi kerana orang luar tidak mempercayai negara ini lagi.

“Orang luar tidak mahu lakukan pelaburan dalam negara sebab kos terlalu tinggi. Mereka akan cari tempat lain yang mana kos tidak tinggi. Jadi, apabila ekonomi rosak dan dunia luar tidak percaya lagi, kita akan dianggap tidak berharga.

“Negara yang tidak ada nilai ialah negara yang sudah tidak ada maruah dan ini boleh menghancurkan negara,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy