More

    Seru lebih ramai lakukan ujian RBTag

    AYER KEROH – Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menyeru semua 112 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melakukan ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag).

    Felo Penasihat MCCF merangkap Pengarah Projek RBTag, Datuk Rosmadi Ghazali bagaimanapun berkata, setakat ini hanya tiga calon yang melakukan ujian yang dibangunkan bersama #RasuahBusters yang bertujuan mengetahui kecenderungan individu terlibat rasuah itu.

    Menurut beliau, calon perlu menganggap RBtag sebagai satu perkara positif dan bukan bertujuan mencari kelemahan atau kesilapan.

    “Dalam konteks psikologi, ujian ini dapat membantu meningkatkan kredibiliti dan ahli politik yang mempunyai kredibiliti tinggi perlu bersih daripada jenayah itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

    Rosmadi juga tidak kesal dengan jumlah calon yang melakukan ujian itu kerana perkara itu satu permulaan dan masih ada pemimpin yang menyokong.

    Pada Khamis, Ketua Sekretariat #Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, ahli politik negara termasuk calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diminta mengambil ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) bagi mengukur tahap integriti mereka.

    Tambah Nurhayati, calon yang serius untuk membanteras rasuah dalam politik negara seharusnya menggunakan peluang tersebut kerana boleh menjadi faktor keyakinan kepada pengundi.

    Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi MCCF, Datuk Seri Halim Ishak berkata, melalui RBTag, sejarah baharu negara tercipta dalam pilihan raya iaitu ahli politik hadir secara sukarela untuk melakukan ujian berkenaan..

    Jelasnya, ujian tersebut bukan mandatori yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi atas kerelaan sendiri.

    “Saya sarankan semua calon yang ingin bertanding menyahut cabaran ini dan fikir dalam konteks positif kerana ia sesuatu yang akan memberi impak besar dan positif kepada diri sendiri dan juga rakyat di kawasan mereka.

    “Ia juga akan beri keyakinan kepada masyarakat dan rakyat di tempat mereka. Rakyat mahukan pemimpin yang bebas daripada rasuah,” ujarnya.

    Menurutnya, penggunaan ujian psikometrik RBTag itu merupakan amalan yang lazim digunakan di negara yang berada di kedudukan 20 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) antaranya Denmark, Finland, New Zealand, Sweden dan termasuk negara jiran, Singapura.

    Jelas beliau, ia telah dibangunkan oleh pakar dan capai tahap indeks minimum adalah sebanyak 95 peratus.

    Calon daripada Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub yang telah melakukan ujian tersebut berkata, ia adalah satu inisiatif yang baik selain berikrar bebas rasuah.

    Tambah beliau, pemimpin perlu melakukan perkara itu kerana mereka menjadi tonggak untuk membentuk kerajaan yang stabil.

    “Saya rasa mereka (calon) patut cuba untuk jalankan ujian ini. Kalau kita jujur dan berintegriti, saya rasa tidak perlu takut dan gusar tentang ujian ini,” katanya.

    Turut sama mengambil ujian itu, calon DUN Ayer Keroh, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam yang menyifatkan ujian tersebut baik untuk memperbaiki diri sendiri.

    Menurutnya, bagi menjadi ahli politik, seseorang itu perlu memperbetulkan diri terlebih dahulu sebelum memimpin rakyat.

    “Pandangan saya, negara ini sudah teruk korupsinya. Ujian ini sangat membantu ahli politik kerana mampu membetulkan diri sendiri. Saya seru kepada semua untuk berikan komitmen terhadap ujian ini.

    “Saya juga akan maklumkan kepada calon PN yang lain untuk ambil ujian ini. Tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan ujian ini,” ujarnya.

    Latest articles

    Related articles

    Leave a reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here