BeritaSifat amanah bukan terpakai kepada pemimpin politik semata-mata

Sifat amanah bukan terpakai kepada pemimpin politik semata-mata

SHAH ALAM – Konsep sifat amanah bukan hanya terpakai kepada pemimpin politik semata-mata tetapi juga setiap orang dalam menangani isu korupsi dan rasuah dalam negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, ia kerana sikap tersebut merupakan satu sifat utama Nabi Muhammad SAW yang perlu diterapkan oleh semua orang.

Tambahnya, nilai moral amanah itu perlu diterap semula bermula dalam modul kepimpinan politik dan penjawat awam.

“Amanah ini takkan putus apabila bercakap tentang kepimpinan dan tata-kelola, khususnya di Selangor ini baru-baru ini tular penjawat awam ditegur dan dimarah oleh exco kerajaan negeri dan saya rasa ada kewajaran.

“Isunya adalah bukan setakat dari segi penyampaian maksudnya bila kita cakap tentang sektor awam ini orang nampak mereka ini yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan tetapi bila berlaku isu ini kita nampak seolah-olah kecanggungan dalam perkhidmatan kerajaan,” katanya dalam Kompas Rasuah Busters yang bertajuk Khianat Amanah Untuk Hidup Mewah pada Rabu.

Program tersebut turut menampilkan, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan, Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan, Najwan Halimi dan Herleena Pahlavy sebagai moderator.

Dalam pada itu, Najwan berkata, Selangor telah melakukan banyak perubahan dalam meningkatkan integriti dan juga ketelusan, kebertanggungjawaban dalam tata kelola kerajaan negeri.

“Selangor kita tidak lagi macam dahulu peruntukan seseorang itu terus kepada ADUN, kita telah buat sistem yang baharu dari segi peruntukan wakil rakyat itu dibekalkan ke pejabat daerah.

“Mana-mana ADUN kalau nak keluar duit dia tidak boleh keluarkan sewenang-wenangnya macam dahulu, sekarang kita kena buat permohonan ke pejabat daerah beri laporan dan kertas kerja.

“Jadi bila sebut integriti ini kita sebagai wakil rakyat ini dapat jaga satu-satu dana rakyat ini lebih adil dan mengelakkan kita sebagai wakil rakyat ini menyalahgunakan atau menyeleweng dana kerajaan ini untuk kepentingan parti misalnya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga boleh melaksanakan sistem pertukaran (rotation) bagi setiap ketua jabatan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurutnya, trend tersebut bukan hanya dapat mengelakkan kebergantungan korupsi tetapi juga mendapatkan banyak pengalaman.

“Kalau di Selangor mereka akan buat ‘rotation’ daripada jabatan kepada jabatan yang lain. misalnya di Shah Alam ini pegawai kanan akan juga ditukarkan ke PBT yang lain bukan kekal.

“Mereka akan dipindahkan untuk mencari pengalaman di tempat lain. Apabila kita sudah amalkan polisi seperti ini contohnya macam YDP atau pengarah jabatan kita akan dapat meminimumkan penguasaan mereka.

“Contoh dah lama dalam Jabatan Perolehan mereka dah tahu selok belok jabatan ini, bila ditukar ini peluang untuk mereka melakukan korupsi akan berkurangan.

“Saya rasa ini diterapkan dalam agensi kerajaan yang lain. maka kurang ketirisan dan salah guna kuasa,” jelasnya.

Tambah Najwan, amanah itu bukan hanya sekadar dilaungkan oleh ahli politik sahaja tetapi ia peranan semua pihak.

“Walaupun kita tahu orang politik ini yang sebenarnya paling terdedah dengan salah guna kuasa, kita juga perlu kembali kepada peranan kita semula dan ia perlu sentiasa diperkatakan supaya ia menjadi suatu yang penting dalam masyarakat,” katanya,

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy