BeritaSifat kucing mampu dorong masyarakat benci rasuah

Sifat kucing mampu dorong masyarakat benci rasuah

SHAH ALAM – Sifat dan karakter kucing yang penyayang dan bertanggungjawab mampu mendorong masyarakat untuk menolak perkara-perkara negatif.

Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, sekiranya masyarakat mempunyai sifat dan karakter tersebut, secara tidak langsung ia mampu mendidik rohani membenci rasuah yang dilihat semakin berleluasa di negara ini.

Justeru katanya, Ejen Meow yang diperkenalkan oleh pasukan Rasuah Busters adalah bertepatan dengan menjadikan kucing sebagai elemen pemudah cara dalam mendidik isu antirasuah bermula di peringkat awal kanak-kanak hingga dewasa.

“Saya menyokong penuh kempen ini kerana dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya mempunyai sifat penyayang dan bertanggungjawab seperti kucing.

“Memandangkan kucing dilihat sangat dekat dengan masyarakat, ia secara tidak langsung dapat menjadikan haiwan itu untuk tujuan kebaikan seperti menolak amalan rasuah.

“Jadi, perkara ini perlu dipupuk dan dididik bermula dari bawah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas pelancaran Ejen Meow #Rasuah Busters di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Pada Khamis, Rasuah Busters yang dianggotai lebih daripada 500 rakan gabungan seluruh negara telah melancarkan Ejen Meow #Rasuah Busters sebagai satu lagi usaha untuk meningkatkan kesedaran agar masyarakat bertindak menolak rasuah secara habis-habisan.

Pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub; Pasukan Teras Rasuah Busters, Anas Zubedy dan beberapa wakil pencinta kucing daripada kalangan persatuan haiwan peliharaan.

Sehubungan itu, Khalid berharap lebih ramai masyarakat untuk terlibat sebagai Ejen Meow #Rasuah Busters agar negara menolak kepimpinan rasuah yang menjadi punca kepada ketidakstabilan politik dan ketirisan dalam sistem tadbir urus.

“Pada masa sama, ia juga dapat menyumbang kepada pemulihan negara ke arah sistem demokrasi yang berpaksikan kuasa rakyat,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy