BeritaSPRM sokong konvoi #RasuahBusters

SPRM sokong konvoi #RasuahBusters

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyokong penuh usaha Rasuah Busters Sinar Harian mengadakan kempen antirasuah menerusi platform konvoi.

Ketua Seksyen Outreach Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Ab Muneim Ibrahim berkata, SPRM menyeru semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil contoh usaha yang dilakukan Rasuah Busters dengan berkempen kepada masyarakat berhubung bahaya rasuah.

“Kita (SPRM) sememangnya menyokong penuh usaha ini. Saya doakan kempen melalui konvoi #RasuahBusters berjaya dan selamat dari mula hingga akhir,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Ahad.

Ab Muneim turut menggesa orang ramai atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang salah laku berunsur rasuah untuk segera melaporkan kepada pihaknya.

Menurut beliau, sebagai usaha menerapkan semangat integriti dan antirasuah kepada masyarakat, SPRM juga mengadakan ceramah, pameran dan dialog untuk meningkatkan kesedaran selain mendidik.

“Kita berharap masyarakat berani untuk tampil dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada SPRM,” ujarnya.

Beliau berharap Rasuah Busters terus bersama dengan SPRM sepanjang masa sebagai ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa terbabit.

“Kita berharap Rasuah Busters tidak berhenti setakat konvoi. Teruskan lagi usaha dan kita sentiasa mendukung penuh kempen sebegini,” tegas beliau.

Pada Jumaat, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, siri jelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan bermula 9 Disember ini sempena Hari Antirasuah Antarabangsa yang disambut di seluruh dunia pada setiap tahun.

Nurhayati memberitahu, konvoi #RasuahBusters merupakan manifestasi komitmen rakyat negara ini bagi memerangi rasuah dengan menyampaikan mesej pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy