BeritaSri Lanka bankrap bukan kerana rasuah 'sehari dua'

Sri Lanka bankrap bukan kerana rasuah ‘sehari dua’

SHAH ALAM – Perlakuan rasuah ‘jangka panjang’ dalam sistem pentadbiran ekonomi Sri Lanka menjadi punca kepada keruntuhan negara itu.

Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, kebankrapan yang terjadi terhadap negara itu bukan berpunca daripada perlakuan rasuah ‘sehari dua’ ini tetapi ia bermula sejak lama dahulu.

Mengibaratkan rasuah seperti penyakit kencing manis, Nungsari menegaskan bahawa kerosakan terhadap Sri Lanka berlaku perlahan-lahan sehinggalah apa yang terjadi kepada negara itu baru-baru ini.

“Rasuah ini macam kencing manis bukan macam sakit jantung, dia perlahan-lahan, kalau jantung dia terus ‘padam’ tetapi penyakit kencing manis ini lama-lama baru ia ‘meletup’.

“Apa yang terjadi di Sri Lanka bukan jadi bak kata orang utara itu ‘dan-dan latu jadi’ tetapi hasil yang terkumpul (kesan jangka panjang),” katanya dalam program khas 360 yang disiarkan secara langsung di Facebook SPRM baru-baru ini.

Katanya, perlakuan rasuah pada skala besar di Sri Lanka menyebabkan negara itu gagal membayar hutang sekali gus telah meranapkan negara pelancongan itu.

“Kerajaan Sri Lanka sampai bankrap kerana kerajaan berhutang tetapi tidak mampu membayar balik hutang macam kitalah kalau kita ada hutang, kita tidak boleh bayar bank kata bankrap.

“Kerajaan pun boleh jadi macam itu itu yang terjadi di Sri Lanka,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, situasi yang berlaku di Sri Lanka memang tidak sama dengan Malaysia, namun harus berwaspada dan perlu menolak sama sekali perlakuan rasuah dalam sistem pentadbiran ekonomi negara.

“Jadi kita tengok di Malaysia ini saya tak samakan macam di Sri Lanka tetapi sebab Tuhan sayang kita juga kot, Sri Lanka tiada hasil bumi, tiada minyak, gas, komoditi yang boleh dieksport, tiada pembuatan, yang kita ada dia tak cukup duit nak bayar kita tak macam itu.

“Tetapi kita kena sedar salah satu ketidakcekapan dalam pelaksanaan dasar fiskal ialah kalau kita lihat 22 tahun bajet yang dibentang di Dewan Rakyat, perbelanjaan melebihi hasil, maknanya 22 tahun kita overdraf,” katanya.

Jelasnya, pada tahun negara menikmati pertumbuhan ekonomi pun kita overdraf, apatah lagi pada tahun kita berhadapan dengan krisis.

“Memang kena overdraflah macam katakan pada 2008 ada krisis bila krisis swasta tiada duit kerajaan kena masukkan duit, nak urus hutang kita kena jaga kalau pelaksanaan dasar fiskal tak cekap, ada ketirisan, keperluan hutang kerajaan berterusan sampai satu tahap keperluan lain akan kekurangan dan tak mampu nak tanggung,” katanya.

Sri Lanka kini berdepan dengan detik paling sukar di tengah-tengah krisis kewangan terburuknya sejak kemerdekaan negara pada 1948.

Krisis itu semakin parah apabila kerajaan Sri Lanka mengumumkan kegagalan Colombo untuk membayar hutang luar negaranya sebanyak AS$51 bilion (RM215.7 bilion), sekali gus memberi isyarat bahawa negara Asia Selatan itu telah jatuh muflis.

Sri Lanka mempunyai kira-kira AS$6 bilion (RM25.37 bilion) hutang luar negara yang perlu dibayar bagi tahun ini, manakala rizab boleh guna negara itu telah merosot kepada rekod terendah dalam sejarah iaitu hanya AS$150 juta (RM634.2 juta).

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy