BeritaSuara puisi banteras rasuah

Suara puisi banteras rasuah

SHAH ALAM – Usaha memerangi rasuah boleh dilakukan dengan pelbagai cara termasuk menggunakan bait-bait puisi yang mampu menjentik hati masyarakat.

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi), Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, Program Baca Puisi Anti Rasuah: [email protected] merupakan antara inisiatif oleh Pemuisi, Kumpulan Media Karangkraf dan Rasuah Busters untuk menyedarkan masyarakat supaya menjauhi rasuah.

“Program baca puisi anti rasuah ini dirasakan amat tepat pada masanya di tengah-tengah gelodak rasuah yang kian dirasakan di negara kita melibatkan para pemimpin utama dan pegawai tinggi kerajaan dihadapkan ke mahkamah.

“Indeks rasuah negara juga menunjukkan kadar yang semakin tinggi sekali gus kita semua perlu bangkit menyatakan tidak kepada rasuah.

“Rasuah itu umpama api dalam sekam dan kanser yang menular di dalam diri yang akan merosakkan seluruh sistem kehidupan ini,” katanya.

Program Program Baca Puisi Anti Rasuah: [email protected] itu berlangsung di Studio F, Kumpulan Media Karangkraf pada Ahad dan disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.

Seramai 33 pemuisi yang terdiri daripada exco, pengerusi Pemuisi negeri dan ahli serta kerabat pemuisi mempersembahkan bacaan puisi, syair, dekon dan lagu puisi yang bertemakan rasuah.

Antara yang turut hadir membacakan puisi pada program berkenaan adalah Pengerusi Bernama, Senator Datuk Ras Adiba Radzi; Pengerusi Pemuisi, Siso Kopratasa; Penasihat Persatuan Pemuisi, Senator Datuk Dr Zurinah Hassan dan pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias.

Menurut Radzuan, Pemuisi akan terus menyokong segala aktiviti memerangi rasuah sesuai dengan visi Pemuisi iaitu ‘Suara Kemanusiaan Sejagat’.

“Pemuisi akan memerangi rasuah dengan bait-bait puisi menyedarkan masyarakat bahawa rasuah itu perosak masyarakat, najis, hina dan harus dibasmi.

“Alangkah indah andai negara kita menjadi negara sifar rasuah dan kita hidup aman damai tanpa rasuah berlandaskan iman, takwa dan ajaran agama kita.

“Tahniah juga kepada pihak Kumpulan Media Karangkraf yang telah berusaha dan berjuang memerangi rasuah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah percaya mesej yang ingin disampaikan menerusi program tersebut akan dapat dihayati oleh masyarakat sekali gus memastikan rasuah dapat diperangi.

Menurutnya, gejala rasuah di negara ini berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan pelbagai pendekatan untuk mengelakkan rasuah terus berlaku.

“Negara kita ini telah dihina oleh negara lain kerana kegiatan rasuah berleluasa atau dengan mudahnya kita boleh gelarkan negara kita ini sebagai darul rasuah.

“Jadi, saya seru semua masyarakat untuk kita bersama-sama menentang rasuah ini demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya.

Muhammad Nasir yang juga Penasihat Projek Rasuah Busters turut berbangga apabila menerima tetamu daripada Pemuisi yang menyembahkan puisi anti rasuah sekali gus sebagai usaha untuk memastikan rasuah dapat dihapuskan.

Dalam pada itu Ras Adiba berpendapat, program menyebarkan mesej anti rasuah menerusi platform media sosial perlu diperhebatkan oleh semua pengamal media di negara ini sebagai usaha menarik minat masyarakat terutama generasi muda.

Katanya, pendekatan tersebut yang kini meluas penggunaannya dapat memudahkan golongan itu memahami mesej yang disampaikan.

“Kadang-kadang masyarakat lupa bahawa kita boleh menyebarkan mesej anti rasuah secara sastera dalam media sosial. Sudah tentu pendekatan ini dapat menarik perhatian anak muda sekali gus mengingatkan mereka mengenai kejamnya gejala ini.

“Kalau kita buat dengan tema serta genre berlainan dan mengajak mereka untuk bersama-sama sampaikan puisi, sudah pasti ia lebih berkesan,” ujarnya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy