BeritaTangan ’ghaib’ terokai hutan

Tangan ’ghaib’ terokai hutan

KUANTAN – Sikap rakus ‘tangan-tangan ghaib’ yang mahu mendapatkan keuntungan lebih tinggi menyebabkan mereka mencari jalan tanpa perlu melanggar undang-undang untuk melakukan penerokaan hutan dengan skala lebih besar.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, sebagai mana yang beliau sering dedahkan, kelulusan membalak atau pertukaran hutan simpan kekal kepada status hutan ladang terlalu banyak berlaku sehingga memberi kesan kepada alam sekitar.

Menurutnya, situasi itu berlarutan disebabkan kelulusan diberikan tanpa memerlukan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi penerokaan hutan berskala kecil.

“Kelulusan kawasan kecil-kecil tak perlu EIA, tapi kalau sambung-sambung ia boleh bercantum dan ia akan menyebabkan masalah, mungkin itu puncanya. Belum lagi diambil kira status hutan ladang yang terbengkalai,” katanya ketika Program Kompas Rasuah Busters yang membicarakan topik Alam menangis angkara tangan ghaib di sini pada Isnin.

Program itu turut menampilkan aktivis alam sekitar, Khaidir Ahmad dan dikendalikan oleh Zaim Zaini bersempena Konvoi #RasuahBusters ke Pahang.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, penyalahgunaan undang-undang juga dikhuatiri berlaku disebabkan dasar pewartaan hutan simpan kekal yang berbeza mengikut bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri.

Beliau mendakwa, meskipun hutan simpan kekal tak boleh diusik berdasarkan undang-undang persekutuan, tetapi di Pahang, ia boleh dinyah warta tanpa tunggu pendapat awam.

Sementara itu, Khaidir berkata, masyarakat perlu berani ke depan dalam mempertahankan isu alam sekitar dan beliau tidak menolak masalah rasuah juga menjadi punca kepada masalah alam sekitar.

“Rakyat kena bersama. Suarakan, tulis dan laporkan apa-apa kesalahan yang menjejaskan alam sekitar. Jangan takut kerana paling penting, suarakan dengan fakta yang betul.

“Undang-undang sebenarnya sudah cukup, tapi berbalik kepada rasuah, ia adalah punca. Ibu segala masalah alam sekitar adalah rasuah. Undang-undang ada, tapi penguatkuasaan tidak dijalankan, salah guna kuasa juga berlaku,” dakwanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy