BeritaTingkat kesedaran tangani rasuah penjawat awam

Tingkat kesedaran tangani rasuah penjawat awam

SHAH ALAM – Kerajaan perlu mempunyai kesedaran dan kemahuan politik yang kuat untuk melaksanakan pelan antirasuah di peringkat kementerian, jabatan dan agensinya bagi menangani gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, ini kerana rasuah boleh berlaku di semua peringkat jawatan, tidak hanya melibatkan individu berpangkat tinggi sahaja.

“Jadi ini terpulang kepada diri sendiri, sebab itu kesedaran dan kemahuan politik untuk melaksanakan pelan anti rasuah ini mesti dibuat bersama-sama.

“Pelaksanaannya memerlukan kemahuan politik yang kuat, sebab pelan antirasuah sudah ada, jadi kenapa kita tidak laksanakannya?

“Sekiranya kita hanya mengutamakan ideologi politik tanpa memikirkan satu agenda yang besar untuk negara, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Khianat Amanah Untuk Hidup Mewah’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis ialah Felo Kanan Akademi Penyelidik Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi manakala Herleena Pahlavy bertindak selaku moderator.

Dalam pada itu, Shahaniza turut mencadangkan agar sistem penggiliran atau pertukaran ke unit atau jabatan lain dilaksanakan dalam kalangan penjawat awam bagi mengatasi kecenderungan berlakunya rasuah dan salah guna kuasa sekiranya mereka masih bertugas di tempat yang sama dalam tempoh lama.

“Misalnya, (seorang penjawat awam) bertugas di unit hasil dalam tempoh dua tahun sahaja, kemudian ditukar ke unit lain pula,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kejadian banjir di Bentong, Pahang yang didakwa berlaku akibat aktiviti pembalakan hujung tahun lalu, Shahaniza berkata, bencana alam itu disebabkan hujan lebat yang berterusan menyamai kadar taburan hujan bagi tempoh sebulan.

“Apa yang dikatakan balak yang bergelimpangan itu lebih kepada kayu kayan. Tapi orang ramai kalau nampak kayu saja, terus katakan ia kayu balak.

“Kita boleh pastikan tidak ada sebarang pembalakan di kawasan banjir di Hutan Simpan Lentang berkenaan dan sebab itu, kita berani ambil tindakan undang-undang kepada mereka yang membuat tuduhan tidak berasas.

“Kita memang sangat serius menangani isu pembalakan haram atau menggunakan tanah rizab sungai. Kta juga sudah ambil tindakan kepada pengusaha chalet yang menggunakan rizab sungai,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri Pahang juga telah memperuntukkan RM3 juta setahun untuk menubuhkan Pasukan Khas Elit Penguat Kuasa Negeri Pahang untuk membanteras pencerobohan dan penerokaan tanah haram di negeri itu.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy