BeritaTolak amalan rasuah perlu datang dari 'roh' setiap rakyat

Tolak amalan rasuah perlu datang dari ‘roh’ setiap rakyat

SHAH ALAM – Usaha membawa Malaysia ke kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tidak cukup sekadar perlaksanaan sebarang prosedur, sebaliknya perlu datang daripada ‘roh’ setiap individu di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, penolakan terhadap rasuah yang datang daripada dalam diri setiap insan mampu memberi harapan untuk melihat Malaysia kembali bangkit.

“Kita boleh ada prosedur untuk kita capai indeks persepsi rasuah yang hebat di dunia. Tetapi di mana roh? Roh menolak rasuah? Di mana roh yang kita boleh rasakan bahawa rasuah ini boleh menjejaskan nilai yang boleh kita bawa sesuatu yang cukup bernilai yang boleh membawa satu dagangan yang menguntungkan.

“Menolak rasuah keuntungannya di dunia dan tidak akan sengkek di akhirat. Malaysia boleh bangkit, tetapi bermula daripada diri kita. Jangan kita komen dan lihat (salah) kerajaan atau pihak lain, lihat pada kerajaan dalam diri kita.

“Sejauh mana kita betul-betul dapat rasakan bahawa rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini memberi kesan pada diri, keluarga dan nama yang bakal kita tinggalkan,”katanya ketika menjadi panelis Forum Khas bertajuk ‘Rasuah Nampak Senang Di Dunia, Sengkek Di Akhirat’ anjuran Sinar Harian pada Khamis.

Program yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian itu turut membariskan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadot; dan Ketua Program Dakwah, Koleh Pengajian Islam Johor (MARSAH), Osman Sahalan sebagai panelis, manakala Azlan Shah Nabees Khan sebagai hos.

Tambah beliau, untuk melihat Malaysia memperbaiki kedudukan dalam CPI juga memerlukan kesepaduan dan gerakan holistik daripada keseluruhan ekosistem.

Maka kerana itu jelas beliau, #RasuahBusters memainkan peranannya membawa satu bentuk campur tangan rakyat bersama-sama kepimpinan negara, pemegang taruh,dan penguatkuasa agar setiap rakyat mengambil tanggungjawab bahawa menyelamatkan negara bukan daripada perspektif rasuah sahaja.

“Apabila kedudukan semakin menurun, kita tak boleh harapkan negara lain memperlahankan kedudukan mereka kerana selagi dunia, dan teknologi berevolusi, rasuah juga berevolusi.

“Tidak semestinya kita perlu berada dalam kedudukan tinggi untuk kita menjadikan negara kita bebas rasuah. Perkara menolak rasuah ini bukannya satu perkara yang sukar. Ia satu perjuangan membawa kebenaran jangan mengambil hak orang lain, letakkan nilai ke hadapan segala-galanya.

“Merujuk kedudukan CPI, negara yang berada pada kedudukan tertinggi tidak menjadikan agama sebagai keutamaan mereka. Namun bagaimana mereka boleh berada di kedudukan menolak rasuah? Inilah sesuatu yang kita perlu fikirkan sebagai umat Islam, sebagai rakyat Malaysia yang dianggotai pelbagai bangsa kaum dan agama,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy