BeritaTolak rasuah seperti dosa-dosa lain

Tolak rasuah seperti dosa-dosa lain

KUALA LUMPUR – Masyarakat diingatkan agar menentang kegiatan rasuah sebagaimana menolak perbuatan dosa-dosa lain yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, ini kerana hukuman semata-mata yang termaktub dalam sistem perundangan di negara ini tidak akan menyelesaikan masalah tanpa kesedaran yang tinggi daripada masyarakat.

“Hukuman lebih berat mungkin boleh untuk menakutkan, namun lebih penting kita kena sedarkan jiwa masyarakat di negara ini tentang rasuah, salah guna kuasa bahawa perkara ini sebenarnya besar, bukan hanya A bagi duit pada B, kemudian B bagi apa yang A mahu, dan ia selesai. Ada pihak ketiga yang akan terkesan, kalau institusi kerajaan, yang terkesan adalah rakyat.

“Di Malaysia, kalau cerita tentang kaum Nabi Luth, semua sekampung setuju mahu menentang perkara itu, tapi dalam al-Quran, ada juga cerita tentang kaum Nabi Shuib dan apakah dosa mereka? tentang perniagaan, tentang pengambilan hak dan rasuah adalah pengambilan hak secara batil.

“Jadi, tak akan kita mahu memilih-milih dosa yang kita mahu lawan. Itu yang perlu ditekankan,” katanya dalam Program Kafe Rasuah Busters Khas, bersempena Konvoi Jelayah Satu Malaysia Rasuah Busters ‘Dari Tabung Haji ke Gerai Pok Nik’ berlintas langsung dari Menara Kuala Lumpur, pada Khamis.

Beliau berkongsi isi hati, membahaskan situasi semasa dan pendirian yang beliau tekankan dalam melihat isu budaya rasuah dalam pengurusan dan pentadbiran institusi-institusi di negara ini.

Lebih mesra dengan panggilan Pok Nik, beliau berkata, demi kebaikan negara untuk jangka masa panjang, masyarakat perlu memilih individu yang layak diangkat sebagai pemimpin yang bersih dan mampu menjalankan amanah dengan baik.

“Masyarakat perlu buka mata tentang pentingnya pengurusan, kepimpinan dan pentadbiran. Kita tidak boleh pilih atau melantik seseorang hanya kerana dia popular, pandai beraksi di media sosial, bercakap dengan cara yang baik yang boleh mempengaruhi.

“Tapi kita kena tengok kemampuannya, tentang tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Itu yang kita perlu usaha sama ada mahu tekankan dalam aspek agama, atau dalam aspek integriti sebab kalau perkara ini rapuh dalam institusi yang ada di negara kita, ia mempunyai kesan jangka panjang yang akan beri kesan kepada ramai orang,”katanya.

Pok Nik yang kini merupakan penjaja gerai makanan Kelantan, turut berkongsi pandangan berdepan reaksi masyarakat apabila melihat beliau kini sebagai pengusaha gerai berbanding tarafnya selaku Ketua Pegawai Eksekutif TH sebelum ini.

“Pada saya, apa sahaja yang kita buat, sekiranya halal dan tidak menyusahkan orang lain, ia adalah perkara yang kita terima sebagai yang baik. Manakala, ketika ada perkara-perkara lain yang memberi kekayaan yang besar tetapi caranya salah atau haram, itu sebenarnya hina. Jadi kita kena jelas konsepnya, sebab inilah menghidupkan Islam dalam kehidupan.

“Saya selalu ingatkan pegawai pengurusan ketika kedudukan saya sebelum ini, bahawa kita tidak boleh fikir dan jawab ketika disoal oleh ALLAH SWT kelak kerana ketika itu mulut dah terkunci. Jawapan yang kita bawa kepada ALLAH SWT adalah apa yang kita buat hari ini.

“Apa yang kita buat bukan apa yang kita cakap, (tetapi) apa kita kena laksanakan, setiap keputusan yang dibuat kena betul. Maknanya kita tidak boleh hanya meletakkan Islam sebagai satu idealisme tetapi dalam pentadbiran, pengurusan ia dicampak ke tepi,”katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy