BeritaUNI-MLC gesa sidang khas Parlimen putuskan resolusi tangani rasuah

UNI-MLC gesa sidang khas Parlimen putuskan resolusi tangani rasuah

SHAH ALAM – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa ahli Parlimen memanggil sidang khas bagi memutuskan resolusi khusus dalam memerangi rasuah.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, ia sekali gus menunjukkan bahawa ahli-ahli politik benar-benar komited ke arah mencapai hasrat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurutnya, sudah tiba masanya kepimpinan politik dan kerajaan menyatakan komitmen seperti mana yang dilakukan oleh kepimpinan tertinggi negara.

“UNI-MLC mahu kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat satu ketetapan tegas dan komited untuk memanggil sidang khas Parlimen bagi memutuskan resolusi khusus bagi memerangi rasuah.

“UNI-MLC mahukan komitmen secara menyeluruh daripada ahli Parlimen dalam soal ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, meskipun Seri Paduka Baginda telah menitahkan nasihat berkaitan dengan Pelan Anti Rasuah Nasional (2019-2023) dalam titah perasmian sidang Parlimen pada bulan lalu, tetapi kesungguhan dalam kalangan ahli Parlimen dalam menyahut perkara tersebut kelihatan tidak menyeluruh.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab ahli-ahli Parlimen untuk menzahirkan iltizam mereka ke arah itu.

“Masa untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan retorik sudah berakhir dan perlu dihentikan.

“Sebaliknya kerajaan pada hari ini perlu mengambil satu langkah konkrit dan bersepadu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

“Ia perlu dilakukan dengan segera dengan penyertaan dan penglibatan setiap pemegang taruh, tetapi perlu bermula dari diri ahli-ahli politik terutama anggota Dewan Perundangan iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” ujarnya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy