BeritaWujudkan silibus bahaya rasuah dari peringkat tadika

Wujudkan silibus bahaya rasuah dari peringkat tadika

SHAH ALAM – Kerajaan disaran mewujudkan silibus khas mengenai rasuah bermula di peringkat sekolah tadika lagi sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) demi menyedarkan generasi akan datang tentang bahaya amalan rasuah kepada masyarakat dan masa depan negara.

Perkara itu disuarakan oleh penulis buku, Datuk Mohamad Din Yusoh kerana ketika ini, persoalan yang sentiasa membelenggu pemikiran rakyat di kebanyakan ialah sama ada sistem politik negara mampu berubah demi kebaikan dan kemajuan negara.

Menurut beliau, Malaysia juga tidak terkecuali apatah lagi melalui Indeks Global membabitkan 180 buah negara di seluruh dunia, telah menyaksikan Malaysia menurun ke tangga ke-62 pada tahun 2021 daripada tangga 51 pada tahun 2019.

“Saya dan rakyat Malaysia ingin melihat apakah negara kita boleh dikategorikan sebagai 10 negara yang ‘Top 10’ menghindari rasuah. Apakah saya dapat melihat negara ini dalam tahun-tahun yang terdekat dapat berubah sebab faktor umur saya sudah menjejak 75 tahun.

“Atau adakah harapan rakyat akhirnya menjadi debu yang berterbangan, melihat kepada sikap pemimpin politik yang menerajui sesebuah negara kekal rakus dengan sifat pentingkan diri sendiri dan kegilaan mengekalkan kuasa dengan sanggup mengenepikan prinsip perjuangan yang digembar-gemburkan selama ini.

“Oleh itu cadangan saya kepada kerajaan, eloklah satu silibus bahaya rasuah diajarkan pada peringkat tadika, peringkat sekolah rendah dan menengah sehingga ke peringkat universiti,”katanya ketika berucap pada pembukaan Forum Khas bertajuk ‘Rasuah Nampak Senang Di Dunia, Sengkek Di Akhirat’ anjuran Sinar Harian pada Khamis.

Program yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian itu membariskan Ketua Pegawai Eksekutif #RasuahBusters, Nurhayati Nordin; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadot; dan Ketua Program Dakwah, Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Osman Sahalan manakala Azlan Shah Nabees Khan sebagai hos.

Forum Khas berkenaan juga diilhamkan bersempena buku Rasuah Nampak Senang Di Dunia, Sengkek Di Akhirat yang ditulis oleh Mohamad Din.

Mohamad Din pada masa sama berkata Malaysia menjadi contoh negara Islam yang berprinsip, bermaruah dan boleh diteladani justeru, beliau mengharapkan indeks global akan berubah.

“Malaysia Boleh selalu dilaungkan dalam bidang sukan. Malaysia Boleh, negara Malaysia boleh, pemimpin boleh, lapisan rakyat di bawah pun boleh. Boleh untuk mengubah perkara yang tidak dibolehkan menjadi sesuatu yang lebih baik dan dihormati,”katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai buku Rasuah Nampak Senang Di Dunia, Sengkek Di Akhirat, Mohamad Din berkata, buku berkenaan ditulis pada tahun lalu selepas kejayaan buku ‘Covid-19 Melanda Negara dan Dunia’.

“Saya menulis buku Rasuah ini diolah dari sudut kaca mata Islam yang saya rujuk dari kitab-kitab yang muktabar,kebanyakannya tersimpan dalam pustaka saya sendiri,”katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy