
SHAH ALAM – Penubuhan unit integriti perlu diperluas ke pelbagai peringkat termasuklah sekolah, tadika dan masjid sebagai usaha memperkasa tindakan membanteras rasuah dalam negara.
Justeru, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, penubuhan unit terbabit tidak seharusnya terhad di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata.
“Saya bersetuju dengan cadangan supaya setiap PBT menubuhkan unit integriti dan boleh diperluas ke sekolah, tadika, taman perumahan dan sebagainya, namun pastikan ia tidak terikat dengan mana-mana pengaruh politik atau kepentingan tertentu.
“Jika ditubuhkan, unit integriti itu perlu memberi keutamaan kepada pelantikan individu luar yang benar-benar mempunyai nilai integriti tinggi untuk menerajuinya,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Khamis, media melaporkan semua PBT termasuk majlis bandaraya dan majlis perbandaran diwajibkan menubuhkan Unit Integriti selewat-lewatnya 31 Ogos 2025 seperti ditetapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Susulan itu, Ahli Institut Integriti Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye mengingatkan, setiap PBT perlu segera menubuhkan unit integriti tanpa menunggu sehingga tarikh akhir yang ditetapkan, jika organisasi berkenaan prihatin dalam soal kredibiliti dan ketelusan melaksanakan amanah.
Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, perlu ada jaminan bahawa unit bakal ditubuhkan tidak dijadikan platform ‘menyelamatkan diri’ atau bersifat berat sebelah apabila berlaku sebarang isu.
“Saya harap pelantikan individu luar dalam unit integriti dapat menjamin ketelusan dan memperkukuh usaha membanteras rasuah di semua peringkat masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rashid menyambut baik cadangan supaya kanak-kanak diterapkan dengan kesedaran mengenai rasuah di peringkat sekolah.
Ujarnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan nilai integriti dapat diterapkan seawal usia khususnya dalam kalangan kanak-kanak menerusi pendidikan awal.