berita rasuah bustersNak untung cepat punca rasuah

Nak untung cepat punca rasuah

IPOH – Potensi berlakunya rasuah di dalam masyarakat bukan hanya kepada mereka yang mempunyai jawatan tinggi dalam organisasi tetapi boleh melibatkan sesiapa sahaja termasuklah golongan usahawan.

Seorang usahawan, Muhammad Asyraaf Mohd Maasom, 24, berkata, rasuah boleh berlaku kepada sesiapa yang gagal mengawal diri untuk mendapat keuntungan dengan jalan singkat.

Menurutnya, kesedaran terhadap rasuah dalam kalangan masyarakat perlu ditanam secara konsisten bagi memastikan kebencian mereka terhadap perbuatan jijik itu berterusan.

“Peranan usahawan dalam memastikan mereka bebas rasuah adalah dengan tidak menerima atau memberi suapan sebagai upah atau dorongan kepada mana-mana individu sama ada dalam urusan rasmi atau pun tidak.

“Jangan sesekali memberi dan menerima suapan seperti wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, diskaun dan banyak lagi istilah yang diguna pakai bagi menutupi kegiatan rasuah ini,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sementara itu, Muhammad Asyraaf berkata, memerangi rasuah tidak seharusnya menjadi tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata.

Katanya, masyarakat juga mempunyai tanggungjawab penting dalam memutuskan rantaian rasuah dengan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat salah laku rasuah sama ada dalam sektor awam, swasta dan dalam bidang perniagaan sekalipun.

Jelasnya, mana-mana individu yang ingin menyalurkan maklumat mengenai kegiatan rasuah tidak perlu bimbang kerana mereka diberi perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Dalam pada itu, Muhammad Asyraaf berpandangan penyelesaian masalah rasuah harus ditangani menerusi pendidikan dalam semua peringkat.

“Kerajaan harus memperkenalkan silibus baharu di sekolah untuk membolehkan pelajar menyedari kesan negatif rasuah dan mengapa ia menjadi satu kesalahan yang besar.

“Ini dapat membantu menyemai budaya kejujuran dan ketelusan dalam melakukan sesuatu urusan. SPRM boleh menjemput individu yang pernah disabitkan kesalahan rasuah untuk memberi ceramah dan menceritakan impak kehidupannya bergelumang dengan rasuah ini,” katanya.

Menurutnya, subjek baharu tentang intergriti juga dicadangkan untuk diperkenal atau dijadikan sebagai sebuah silibus dalam mata pelajaran di sekolah arus perdana.

Malah katanya, pihak SPRM juga boleh membuat kempen di semua institusi pendidikan seperti sekolah rendah, menengah serta institusi pengajian tinggi sama ada swasta mahupun awam.

Jelas Muhammad Asyraaf, nilai etika dan kepentingan integriti harus ditanam pada usia muda agar budaya positif itu boleh terus diamalkan sehingga mereka dewasa.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here