BeritaNegara perlu generasi berintegriti tinggi – Dr Nor Azni

Negara perlu generasi berintegriti tinggi – Dr Nor Azni

SHAH ALAM – Malaysia memerlukan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu dan kemahiran, malah mempunyai integriti tinggi.Timbalan Dekan (Akademik, Pelajar dan Alumni), Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nor Azni Abdul Aziz berkata, generasi berintegriti dapat menjadi warganegara bertanggungjawab, beretika dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan negara.”Kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui pencapaian ekonomi atau pembangunan fizikal semata-mata tetapi juga melalui kualiti moral rakyatnya,” katanya.Justeru, menurutnya, usaha memperkukuh nilai moral perlu menjadi agenda bersama keluarga, institusi pendidikan, masyarakat dan kerajaan demi memastikan pembangunan negara seimbang serta berteraskan nilai kemanusiaan yang luhur.”Nilai moral merupakan asas utama yang membentuk keperibadian seseorang individu, menentukan cara seseorang berfikir, membuat keputusan dan berinteraksi dengan orang lain.”Dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, nilai moral bukan sahaja penting untuk pembangunan individu, malah menjadi teras kepada keharmonian sosial, kestabilan negara dan kemajuan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya kepada Rasuah Busters.Tambah Nor Azni, integriti merupakan nilai yang paling utama yang merujuk kepada sifat jujur, amanah, bertanggungjawab dan konsisten dengan apa yang diperkatakan dan dilakukan.Ujarnya, individu mempunyai integriti akan melakukan perkara yang betul walaupun tanpa pengawasan dan tidak mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain untuk kepentingan diri sendiri.”Integriti amat penting kerana pelbagai cabaran sosial yang dihadapi hari ini seperti rasuah, penyebaran maklumat palsu, penipuan dalam talian, salah guna kuasa dan kemerosotan etika profesional berpunca daripada kegagalan menghayati nilai tersebut.”Apabila integriti semakin lemah, kepercayaan masyarakat terhadap institusi, organisasi dan sesama manusia juga akan terhakis,” katanya.Menurut beliau, bagi memupuk nilai integriti, pendidikan perlu bermula sejak awal usia sama ada di rumah, sekolah mahupun dalam komuniti.Katanya, ibu bapa berperanan sebagai model teladan pertama kepada anak-anak melalui amalan harian seperti bercakap benar, menepati janji dan bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri.”Di sekolah pula, pendidikan nilai tidak seharusnya terhad kepada pengajaran teori, tetapi perlu diterjemahkan melalui pengalaman pembelajaran, aktiviti kokurikulum, khidmat masyarakat serta budaya sekolah yang mengutamakan kejujuran dan akauntabiliti.”Pada masa yang sama, pemimpin dalam pelbagai sektor juga perlu menunjukkan contoh terbaik kerana masyarakat belajar bukan sahaja melalui apa yang didengar, tetapi juga melalui apa yang dilihat,” katanya.Tambahnya, sekiranya nilai integriti dijaga dan diamalkan secara konsisten, banyak manfaat dapat diperoleh.Ujar beliau, pada peringkat individu, integriti membentuk kepercayaan diri, meningkatkan kredibiliti dan membantu seseorang membuat keputusan yang lebih beretika.”Pada peringkat organisasi, integriti mewujudkan budaya kerja yang profesional, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan konflik.”Pada peringkat negara pula, integriti menyumbang kepada tadbir urus yang baik, meningkatkan keyakinan pelabur, mengukuhkan perpaduan rakyat dan mempercepatkan pembangunan negara secara mampan,” katanya.

Baca Artikel Penuh di Sinar Harian

Terkini

Artikel Berkaitan