SHAH ALAM – Kerajaan perlu membuka ruang dengan membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada pengaruh politik sekiranya mahu memerangi kegiatan rasuah di negara ini.
Presiden Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (Gema), Mohammad Amar Masuri berkata, usaha lain turut melibatkan:
- Pendedahan kontrak dan bajet kerajaan kepada umum
- Pendidikan integriti sejak di peringkat sekolah
- Perlindungan kepada pemberi maklumat rasuah
- Kawalan terhadap dana politik agar tidak disalah guna
- Penglibatan NGO dan anak muda sebagai pemantau bersama
“Rasuah bukan sekadar isu undang-undang. Ia soal kepercayaan rakyat. Apabila kepercayaan hilang, harapan juga luntur dan kita sebagai anak muda yang mahu melihat Malaysia maju, merasakan tanggungjawab itu ada pada kita semua,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu di Dewan Karangkraf.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Jun berkata, Kerajaan Perpaduan Madani amat komited menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa, namun pembaharuan memerlukan sedikit masa untuk mencapai hasil.
Menurut Menteri Kewangan itu, sesetengah pihak tidak sabar dan mahukan perubahan cepat, tetapi mereka tidak memahami fakta dan realiti sebenar dalam proses pembaharuan.
Ujar Mohammad Amar, pihaknya terutama generasi muda sedia menjadi sebahagian daripada gerakan untuk mengubah budaya rasuah di negara ini.
“Kegiatan rasuah adalah racun kepada harapan dan musuh masa depan. Reformasi memang perlukan masa, tetapi kalau tidak bermula sekarang, bila lagi?
“Kita tidak boleh biarkan masa depan negara digadai oleh kerakusan segelintir pihak. Anak muda sekarang tidak mudah terpesona dengan kata-kata. Kami lebih rela melihat laporan, menyemak data dan menilai semula sejauh mana kerajaan serius mahu mengubah sistem yang telah lama pincang.”
“Lebih penting, kita tidak mahu menjadi penonton – kita mahu mengambil bahagian,” ujarnya.
