BeritaMahasiswa diingatkan bina benteng integriti - Mustafar

Mahasiswa diingatkan bina benteng integriti – Mustafar

CYBERJAYA – Mahasiswa diingatkan supaya membina benteng integriti sebelum berdepan godaan dan kuasa.Ahli Lembaga Pengarah, Institut Integriti Malaysia (IIM) yang juga Pengerusi RapidBus, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, seseorang itu tidak seharusnya menunggu sehingga memegang jawatan tinggi, berada di bilik lembaga pengarah atau menguruskan jutaan ringgit sebelum mula memikirkan apa yang betul dan apa yang salah.”Jawapan itu sepatutnya sudah ada dalam diri anda kerana karakter dibentuk jauh sebelum kuasa diberikan,” katanya ketika berucap pada Hari Integriti dan Kepimpinan 2026 di Dewan Tun Canselor di sini pada Rabu.Program anjuran Universiti Multimedia (MMU) itu dihadiri lebih 2,000 pelajar Tahun Satu.Turut hadir, Presiden MMU, Profesor Datuk Ts Dr Mazliham Mohd Su’ud.Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin turut menyampaikan ceramah berkaitan Kepemimpinan Beretika: Memimpin dengan betul, Memimpin dengan Integriti.Menurut Mustafar, kebanyakan kegagalan integriti tidak bermula dengan kesalahan besar sebaliknya, ia diawali dengan perkara remeh seperti pembohongan kecil, menipu dan konflik kepentingan atau bayaran kecil yang dianggap tidak memberi kesan.”Dengan bermula dengan satu kompromi boleh membawa kepada kompromi yang lain. Akhirnya, perkara yang dahulunya kita anggap tidak boleh diterima menjadi sesuatu yang normal. Apabila sesuatu menjadi normal, ia akhirnya boleh menjadi budaya,” katanya.Tambah beliau, kejayaan juga tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan pencapaian tetapi bagaimana kejayaan itu dicapai tanpa mengorbankan prinsip dan nilai.”Integriti seseorang tidak seharusnya diukur ketika dirinya diperhatikan sebaliknya terserlah melalui keputusan yang dibuat ketika tiada siapa melihat.”Kepimpinan bukan semata-mata mempunyai kedudukan. Kepimpinan adalah tentang prinsip. Ia bukan sekadar tentang menjadi individu yang diikuti, tetapi individu yang dipercayai.”Pimpinlah dengan cara yang betul ketika mudah, pimpinlah dengan cara yang betul ketika sukar, tetapi paling penting, pimpinlah dengan cara yang betul ketika tiada siapa melihat,” katanya.Dalam pada itu, Nurhayati berkongsi, perjalanan untuk menjadi seorang pemimpin bukanlah sesuatu yang sentiasa mudah kerana seseorang perlu berdepan dengan cabaran, tekanan dan keputusan sukar yang menguji prinsip diri.Ujar beliau, selain kebijaksanaan intelektual dan emosional, seseorang pemimpin perlu mempunyai kebijaksanaan spiritual bagi memahami mengapa mereka berada dalam sesuatu kedudukan dan tanggungjawab.”Jika tiada siapa yang akan mengetahui apa yang kita lakukan, adakah kita masih memilih untuk melakukan perkara yang betul?”Itulah kebijaksanaan seorang pemimpin. Kita percaya bahawa Tuhan sentiasa melihat apa yang kita lakukan,” katanya.Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kewangan, Nur Elisa Qistina Zainal Abidin berkata, dia sangat bersetuju kesedaran integriti dan rasuah dibawa masuk ke sektor pendidikan dengan harapan amalan itu dapat dihapuskan pada masa hadapan.”Pendedahan seperti ini membuka mata kami untuk lebih berhati-hati dan menjauhi amalan tidak sihat, khususnya rasuah. Ia mengingatkan kami supaya sentiasa menjaga integriti dan tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang boleh merosakkan masa depan diri serta negara,” katanya.Seorang pelajar Fakulti Pengurusan Bisnes, Muhammad Danial Adenan pula berkongsi, sesi berkenaan memberi pendedahan baharu kepadanya mengenai kepentingan integriti serta membantu memahami dengan lebih jelas maksud integriti sebenar dan bentuk-bentuk jenayah yang boleh menjejaskan diri, organisasi serta masyarakat.Namun bagi pelajar, Erfan Suhaimi, 19, berkata, program tersebut benar-benar membuka mata tentang pentingnya integriti.”Integriti bukan hanya perlu diamalkan ketika berada di universiti, tetapi dalam setiap aspek kehidupan dan pada setiap masa untuk membentuk diri menjadi insan yang baik dan jujur.”Apa juga agama yang kita anuti, semuanya mengajar dan menuntut kita untuk menjadi manusia yang baik, amanah dan berpegang kepada kejujuran,” katanya.

Baca Artikel Penuh di Sinar Harian

Terkini

Artikel Berkaitan