PETALING JAYA – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa supaya kerajaan dapat menyegerakan pelaksanaan reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, gesaan tersebut dilakukan memandangkan pilihan raya umum (PRU) ke-16 bakal berlangsung dalam tempoh kurang setahun lagi.Menurutnya, penggunaan sumber, aset, program dan jentera kerajaan yang dilihat memberikan kelebihan kepada parti atau calon tertentu perlu dikawal dengan lebih jelas melalui undang-undang pilihan raya.”Peruntukan sedia ada perlu diperkukuh supaya terdapat garis pemisah yang jelas antara aktiviti kerajaan yang sah dengan aktiviti kerajaan yang sebenarnya berfungsi sebagai kempen politik menggunakan wang dan sumber awam.”Bagi memastikan pilihan raya benar-benar bersih dan adil, Bersih menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menambah baik beberapa perkara dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.Hadir sama menyokong gesaan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin, Pengarah Eksekutif, Center for Independent Jounalism (CIJ), Wathshlah G Naidu dan wakil daripada Pusat Komas.Tambah Muhammad Faisal, pindaan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya yang tidak dikemaskini berdasarkan konteks semasa perlu dilakukan dengan segera sebelum PRU ke-16 berlangsung bagi memperkukuhkan penjalanan pilihan raya agar proses kempen menjadi lebih bersih, bebas dan adil.”Penggunaan sumber dan jentera kerajaan yang menggunakan wang rakyat tidak wajar digunakan untuk memberikan kelebihan kepada calon parti pemerintah,” katanya.Beliau berkata, perkara yang perlu diutamakan termasuk menjadikan penyalahgunaan sumber dan jentera kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya sebagai satu kesalahan dan mewajibkan audit penyata perbelanjaan pilihan raya calon serta parti politik oleh pihak audit yang bertauliah sebelum diserahkan kepada SPR.Kerajaan juga katanya, perlu mewujudkan mekanisme dan kerangka panduan yang lebih tegas bagi menangani politik perkauman yang melampau serta manipulasi digital dalam pilihan raya.”Selain itu dengan meluaskan kuasa SPR untuk mengeluarkan kompaun bagi mencegah kesalahan-kesalahan pilihan raya yang boleh dikompaun.”Sudah tiba masanya Malaysia bergerak ke arah demokrasi yang lebih sihat, matang dan progresif,” katanya.Bersih turut menegaskan Putrajaya tidak mempunyai alasan untuk melaksanakan agenda reformasi yang menjadi tulang belakang perjuangan Pakatan Harapan (PH) selama ini.Ujar Muhammad Faisal, pihak kerajaan boleh sahaja untuk memanggil sidang khas Parlimen bagi tujuan tersebut seperti mana pada sesi penerangan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji pada minggu lalu.”Kerajaan tidak boleh lagi guna alasan sidang Parlimen terbatas, boleh dibuat sidang Parlimen khas untuk bentangkan reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya, Akta Perhimpunan Aman dan lain-lain.”Tidak ada lagi isu masa, tinggal lagi keutamaan yang harus diberikan. Kalau kerajaan letakkan keutamaan sebenar ia boleh laksanakan, tak ada masalah,” katanya.Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan pesta makan durian percuma dan cabutan bertuah antara aktiviti yang sering diadakan sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan baru-baru ini.Katanya, aktiviti sedemikian boleh menjadi kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 8 berkaitan penjamuan dan Seksyen 10 berkaitan penyogokan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.Menurutnya, pemantauan Bersih secara umum mengenal pasti penggunaan program kerajaan dan kementerian serta perkhidmatan agensi kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya.”Lebih membimbangkan, Bersih turut mendapati dalam beberapa program yang dipantau, calon bertanding di kawasan berkenaan hadir dalam program, logo parti yang bertanding digunakan, malah terdapat seruan kepada hadirin untuk mengundi calon tertentu.”Program-program berkenaan dianjurkan oleh badan dan agensi kerajaan, sama ada peringkat persekutuan mahupun negeri,” katanya.Antara program lain yang disenaraikan Bersih adalah pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan mencuci gigi secara percuma, pemberian dana dan bantuan, pengumuman peruntukan pembangunan baru serta pelbagai manfaat kepada masyarakat setempat, termasuk bantuan makanan asas.Muhammad Faisal berkata, pemantauan mendapati beberapa kementerian aktif menganjurkan program menggunakan jentera dan sumber kerajaan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) atau pengisytiharan kekosongan kerusi.Sementara itu, Bersih turut menyuarakan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi kandungan media sosial, selain penggunaan sentimen perkauman dan agama secara berlebihan dalam kempen pilihan raya.Ujarnya, sentimen berbaur perkauman terus muncul di media sosial sepanjang tempoh pilihan raya.”Bahkan sentimen perkauman ini berkembang menjadi sentimen xenofobia terutama terhadap kelompok warganegara minoriti, komuniti migran dan pelarian.”Perkembangan teknologi AI menambahkan cabaran baru apabila kandungan seperti imej, video, audio dan teks boleh dihasilkan atau dimanipulasi dengan semakin mudah, pantas serta meyakinkan,” katanya.
