SHAH ALAM – Inisiatif memperkasakan budaya integriti dan menolak amalan rasuah perlu disokong secara menyeluruh oleh pelbagai pihak termasuk sektor swasta, badan berprestij demi memastikan kesejahteraan masyarakat serta masa depan negara yang lebih terjamin.Pengasas dan Pengarah Urusan Rotiboy Bakeshoppe Sdn Bhd, Hiro Tan berkata, penglibatan syarikat swasta dalam usaha membanteras rasuah bukan sekadar menyokong kempen semata-mata, sebaliknya merupakan satu tanggungjawab korporat yang berlandaskan prinsip kejujuran dan integriti.Beliau menjelaskan, matlamat utama penglibatannya bersama gerakan Rasuah Busters adalah untuk memahami visi dan menyelaraskan nilai-nilai murni yang boleh diterap serta disumbangkan oleh sektor swasta.”Bagaimana kita menjalankan sesebuah perniagaan adalah mencerminkan bagaimana kita menjalani kehidupan. Sejak awal lagi, saya percaya kita perlu hidup secara telus, berintegriti dan rendah diri.”Rotiboy akan berusaha sedaya upaya untuk memainkan peranan yang sepatutnya sebagai warga korporat di Malaysia,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas mengadakan pertemuan bersama Penasihat Kumpulan Karangkraf merangkap Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub di Karangkraf di sini pada Jumaat.Hadir sama, Anggota Lembaga Koperasi (ALK) Koperasi Aspirasi Berhad, Sakaria Samela dan Pengurus Perhubungan Strategik Rasuah Busters, Wan Normi Hasan.Tambah Hiro Tan, perancangan kerjasama bersama Rasuah Busters juga merangkumi kempen kesedaran anti-rasuah yang disasarkan kepada komuniti serta sekolah-sekolah.”Langkah ini disifatkan penting bagi memberikan pendidikan awal dan pemahaman mendalam kepada generasi muda serta masyarakat umum mengenai implikasi amalan rasuah,” katanya.Sementara itu, Sakaria menegaskan bahawa penghayatan nilai amanah, kejujuran dan integriti adalah selari dengan ajaran serta prinsip asas Islam.Menurutnya, setiap individu dan pemimpin organisasi wajib mendapatkan sesuatu hasil atau kejayaan menerusi salur serta usaha yang betul tanpa melibatkan kompromi moral.”Dalam ajaran Islam, hidup ini mestilah berasaskan kejujuran. Mendapatkan sesuatu dengan cara yang betul dan berhak adalah dituntut, berbeza dengan rasuah yang sedia ada berunsur penipuan.”Dunia akan menjadi lebih selamat sekiranya semua orang bertindak atas dasar kejujuran. Sekiranya kita menggadaikan prinsip demi mengejar kedudukan atau wang ringgit, dunia dan generasi akan datang akan terancam.”Justeru, amalan rasuah ini mesti dibendung dan dihabiskan secara bersungguh-sungguh,” jelas beliau.
‘Berniaga seperti kita jalani kehidupan’ — Rotiboy tekan integriti, perkasa kempen antirasuah
Artikel Berkaitan
