berita rasuah bustersBahas di Parlimen pakej berbilion, elak ketirisan

Bahas di Parlimen pakej berbilion, elak ketirisan

SHAH ALAM – Kerajaan diminta lebih telus dalam menyatakan status pemberian pakej rangsangan yang dilaksanakan sejak awal tahun lalu iaitu ketika pandemik Covid-19 mula melanda negara ini.

Presiden Transparency International Malaysia, Dr Muhammad Mohan berkata, pihaknya menuntut kerajaan untuk berada pada tahap ketelusan lebih tinggi berhubung penawaran pelbagai pakej yang disediakan kepada orang ramai.

Katanya, kerajaan telah melancarkan pelbagai pakej rangsangan bagi perbelanjaan fiskal dan bukan fiskal yang berjumlah lebih daripada RM500 bilion.

“Demi tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti, kerajaan perlu mengemukakan hal ini di Parlimen untuk dibahaskan dan mengarahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara meneliti perbelanjaan besar ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Muhammad berkata, pihaknya telah melakukan satu kajian bersama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai keberkesanan dan ketelusan bantuan kerajaan.

Melalui kajian tersebut katanya, hasil kajian menunjukkan bahawa bantuan kerajaan melalui pakej Prihatin dan Penjana sebanyak 64 peratus responden daripada usahawan PKS menyatakan keyakinan terhadap ketelusan, integriti serta akauntabiliti dalam proses bantuan.

Namun begitu menurutnya, sebanyak 52 peratus daripada usahawan PKS mengakui telah menyalah guna bantuan Prihatin dan Penjana untuk mempertahankan perniagaan serta membayar perbelanjaan operasi lain selain atas sebab yang dibenarkan.

“Kajian ini juga mendapati bahawa usahawan PKS secara umumnya mengetahui tentang bantuan kerajaan persekutuan ini tetapi 65 peratus responden tidak mengetahui mengenai bantuan kerajaan negeri.

“Antara cabaran dan keberkesanan pengeluaran bantuan yang diceritakan oleh usahawan PKS adalah prosedur yang kurang jelas, kriteria yang ketat dan kuota terhad,” katanya.

Selain itu tegasnya, kira-kira lapan peratus usahawan PKS yang ditemuramah menyatakan bahawa penawaran rasuah diperlukan untuk mendapatkan bantuan Prihatin dan Penjana dengan pihak yang terlibat terutamanya daripada pihak perbankan, kerajaan persekutuan, agensi serta kerajaan tempatan.

Bagaimanapun katanya, tahap rasuah yang lebih rendah itu mungkin disebabkan oleh kaedah aplikasi secara dalam talian yang dilaksanakan oleh kerajaan dan bukannya hubungan langsung antara usahawan PKS dan penjawat awam.

“Oleh itu, kerajaan perlu terus mendorong masyarakat untuk menggunakan aplikasi dalam talian bagi mengurangkan risiko rasuah,” kata Muhammad.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy