berita rasuah bustersDidikan antirasuah langkah tepat basmi rasuah

Didikan antirasuah langkah tepat basmi rasuah

SHAH ALAM – Pendidikan antirasuah adalah langkah tepat untuk membanteras rasuah bermula daripada akar umbi.

Pakar Pendidikan, Dr Intan Farahana Abdul Rani berkata, usaha itu bertujuan bagi melahirkan generasi berkualiti selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rasuah.

Beliau berkata, usia kanak-kanak dilihat cukup matang untuk memahami bahawa rasuah tidak boleh diterima dalam masyarakat dan ia merupakan jenayah sosial.

“Jika mahu generasi masa hadapan berakhlak, didikan tentang salah laku amalan rasuah perlu dipupuk dari peringkat awal lagi.

“Kita juga perlu sedar bahawa kanak-kanak seperti span yang mudah belajar melalui karakter ibu bapa dan guru,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada masa sama, pensyarah Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berlaku bagi mendapatkan ‘ganjaran’ daripada guru perlu dibezakan dengan rasuah.

Menurutnya, proses memberikan kefahaman itu sangat penting kerana akan membentuk sikap dan tingkah laku kanak-kanak terhadap situasi yang melibatkan pertolongan sekali gus membawa kepada pemberian hadiah.

Justeru, beliau turut memberikan beberapa cadangan yang mungkin boleh dipertimbangkan antaranya mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kerjasama ini boleh berperanan sebagai inisiatif bagi merencanakan strategi melalui pendidikan untuk penerapan nilai moral dan sikap ketika menjalankan tugas apabila dewasa kelak,” katanya.

Dalam masa sama, Intan Farahana menyokong gerakan Rasuah Busters yang dilaksanakan oleh Sinar Harian.

Katanya, penganjuran kempen itu adalah tepat pada masanya dan penting bagi menangkis pandemik rasuah yang berleluasa dalam masyarakat.

“Budaya memberi dan menerima rasuah melibatkan semua peringkat ekosistem termasuklah kanak-kanak, jadi konsep pendidikan mengenai rasuah perlu dilaksanakan dengan teliti,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here