berita rasuah bustersMahasiswa, belia perlu berani katakan ‘tidak’ kepada rasuah

Mahasiswa, belia perlu berani katakan ‘tidak’ kepada rasuah

SHAH ALAM – Mahasiswa ataupun belia perlu berani katakan ‘tidak’ kepada rasuah sebagai benteng untuk mempertahankan amanah, menegakkan kebenaran dan keadilan sekali gus menjadikan negara kekal berada di landasan terbaik.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli berkata, rasuah bukan sahaja boleh memberi kesan yang amat besar kepada imej negara, malah ia berupaya merosakkan masa depan generasi akan datang.

“Justeru, kita perlu menjadikan isu rasuah ini sebagai keutamaan bagi memastikan kita dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai tiga kriteria keberanian.

“Antaranya, keberanian untuk menolak rasuah, keberanian menolak pemimpin terlibat rasuah dan keberanian untuk melaporkan rasuah,” katanya pada sidang meja bulat bertajuk ‘Anak Muda Tolak Rasuah’ yang bersiaran secara maya pada Sabtu.

Program yang menampilkan 50 pimpinan belia dan universiti itu merupakan anjuran Malaysian Youth Anti-Corruption Task Force (MYACT) di bawah PKPIM dengan kerjasama Rasuah Busters Sinar Harian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Malaysia Reform Initiative (MARI) serta Kedutaan Amerika Syarikat dan United States Agency for International Development (USAID).

Mengulas lanjut, Ahmad Farhan berkata, terdapat empat faktor utama belia terlibat rasuah antaranya tekanan dan kekangan hidup, rasa ingin hidup mewah, kelemahan sistem sokongan serta masalah integriti dan budaya.

“Jadi, pada peringkat ini saya kurang bersetuju jika mahu membuat pendidikan rasuah di universiti. Apa yang penting hanyalah pendidikan ‘informal’.

“Sebagai contoh, melalui bengkel-bengkel seperti ini kerana ia adalah satu kaedah yang lebih pragmatik, lebih praktikal bagi mendidik ataupun memberikan kesedaran bahana rasuah kepada masyarakat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, rasuah bukan soal duit semata-mata, tetapi ia turut melibatkan individu yang menyalahgunakan kuasa dan kedudukan sehingga menyebabkan orang yang berhak mendapat kedudukan dinafikan haknya.

“Jadi, ini merupakan satu perkara yang perlu kita tentang secara habis-habisan. Jangan galakkan budaya ini berleluasa.

“Kalau kita tak nak terlibat kita elakkan daripada terlibat. Tunjuk yang kita tak suka. Kita buat 50 kali forum atau perhimpunan, memang tidak akan berkesan kalau kita tidak mulakan dengan tindakan,” katanya.

Tambah Nurhayati, belia merupakan pelengkap ekosistem kerana sebelum ini masyarakat hanya meletakkan tanggungjawab memerangi rasuah kepada SPRM, Institut Integriti dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bila berlaku sesuatu, kita tuduh mereka tak jalankan tugas dengan baik. Tetapi adakah kita menjalankan tugas sebagai rakyat?

“Kita tak cetus pemikiran kritis untuk bersoal jawab dan menjadi golongan yang berfikir. Kita rasa jauh sangat nak fikir, tetapi itulah hakikatnya,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy