berita rasuah bustersPeranan media perlu diubah ikut trend

Peranan media perlu diubah ikut trend

SHAH ALAM – Media perlu memainkan peranan penting dalam mengembalikan rakyat Malaysia untuk berpegang teguh kepada agama sesuai dengan Rukun Negara dalam membasmi jenayah rasuah.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, peranan media perlu diubah mengikut trend yang sesuai dengan masyarakat ketika ini.

Beliau berkata, media juga perlu menjadi sistem tanggungjawab untuk membetulkan sistem moral dan nilai bangsa dalam negara.

“Rasuah bukan sahaja melibatkan orang Melayu sahaja tetapi semua bangsa sama ada yang memberi atau menerima.

“Ini kerana dalam perniagaan, sistem perundangan, swasta dan kerajaan ada berlakunya rasuah,” katanya dalam Forum Perangi Jenayah Rasuah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka secara maya pada Jumaat.

Turut hadir, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan, Pengerusi Jihad Rakyat Memerangi Rasuah, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan dimoderatorkan oleh Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa.

Dalam pada itu, Hussamuddin berkata, rakyat juga perlu mengambil tanggungjawab untuk menyemak semula sistem nilai diri sendiri khususnya dari sudut integriti.

“Jika ada integriti dan berpegang kepada nilai, Alhamdulillah, kalau tiada kita kena baiki diri kita. Jadi walaupun baca al-Quran dan dengar khutbah berpuluh-puluh tahun tetapi tidak masuk dalam hati menyebabkan kita masih meminta rasuah daripada ketua cawangan parti di kampung.

“Ini menunjukkan mereka ada masalah kepada kefahaman agama, jadi ia perlu dibaiki,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, media juga perlu digunakan untuk membuat orang Islam faham agama dan bukan sekadar membaca al-Quran.

Jelasnya, umat Islam perlu faham dengan tadabur dan masuk ke dalam hati serta menjadi sistem operasi (operating system) bagi membentuk nilai moral masyarakat.

Sementara itu, Hussamuddin berkata, usaha membasmi rasuah perlu dilakukan dengan gerakan besar-besaran secara bersepadu seperti di bawah gerakan Rasuah Busters.

“Kita sudah gabung lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana banyak daripada mereka yang bergerak secara solo berjuang untuk rasuah tetapi tidak ada impaknya.

“NGO seperti Bersih, C4, Majlis Tindakan Melayu, Ikram bergabung dan akan bergerak secara strategi di mana kita akan buat kempen secara besar-besaran.

“Ini supaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti kita pastikan calon itu dipilih berdasarkan integriti dan bukan sekadar parti,” jelasnya.

Beliau memberitahu strategi membasmi rasuah akan digerakkan secara tersusun dan diuruskan pada hujung bulan Ogos.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here