berita rasuah bustersSPRM anjur FIFA 21 Challenge, sebar mesej antirasuah kepada belia

SPRM anjur FIFA 21 Challenge, sebar mesej antirasuah kepada belia

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganjurkan kejohanan e-sukan SPRM FIFA 21 Challenge mulai 1 hingga 17 Julai ini sebagai antara usaha menyebarluaskan mesej antirasuah dalam kalangan belia.

Bertemakan ‘Youth Against Corruption’ (Belia Menentang Rasuah), kejohanan secara dalam talian yang bakal disertai 2,048 atlet e-sukan itu merupakan kesinambungan program PUBG Mobile i-Challenge yang pernah dianjurkan oleh SPRM sebelum ini bagi mendekati kumpulan belia yang meminati e-sukan.

Menurut kenyataan SPRM pada Khamis, idea pertandingan itu dicetuskan oleh Ketua Pesuruhjaya Datuk Seri Azam Baki sebagai pendekatan serampang dua mata kerana mesej antirasuah dan penerangan berkaitan jenayah rasuah di negara ini akan turut diselitkan sepanjang perlawanan tersebut.

“Penganjuran SPRM FIFA 21 Challenge yang julung kali diadakan itu juga membuktikan SPRM memanfaatkan penggunaan teknologi ketika penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada program serta aktiviti pendidikan antirasuah yang sebelum ini dijalankan secara bersemuka.

“Pada masa yang sama, platform secara maya tersebut turut membolehkan SPRM mendekati kumpulan sasar bagi menyampaikan mesej antirasuah meskipun negara sedang berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid-19,” kata SPRM.

Juara pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, naib juara RM3,000 dan tempat ketiga RM2,000.

SPRM FIFA 21 Challenge akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Team Haq Esports Club dan SPRM Community. – Bernama

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here