berita rasuah bustersTI-M sokong peruntukan baharu tangani rasuah, penyelewengan

TI-M sokong peruntukan baharu tangani rasuah, penyelewengan

SHAH ALAM – Perbuatan pecah amanah, penyelewengan kuasa serta amalan rasuah terus diperangi sepenuhnya oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Menyokong usaha itu, Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) menganjurkan forum bertajuk ‘Antara Ketelusan dan Ketirisan: Peruntukan Salah Laku Dalam Badan Awam secara maya.

Presidennya, Dr Muhammad Mohan berkata, penganjuran forum tersebut bertujuan membincangkan cadangan menggubal peruntukan salah laku dalam badan awam yang baharu.

Katanya, peruntukan salah laku dalam badan awam yang dicadang dan diperbincangkan dalam forum tersebut adalah berasaskan peruntukan setara di negara lain.

“Di negara luar, ia dikenali sebagai undang-undang Misconduct in Public Office. Tujuan peruntukan itu adalah memperkasakan tindakan penguat kuasaan terhadap salah laku dalam badan awam terutamanya dalam isu penyelewengan, pecah amanah dan ketirisan sumber awam,” katanya pada Rabu.

Forum anjuran TI-Malaysia itu mendapat kerjasama daripada Malaysia Reform Initiative (Mari), US Agency for International Development (USAID),, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Sinar Harian dan Rasuah Busters.

Forum itu menampilkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Bahrin; Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar; Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Badan Awam (Cuepacs), Adnan Mat sebagai panelis.

Mengulas lanjut, Muhammad Mohan berkata, penganjuran forum itu juga bertujuan memberi kefahaman kepada orang ramai secara jelas berhubung peruntukan baharu menangani salah laku dan elemen amalan rasuah.

Malah jelasnya, perkara itu sangat penting untuk pemahaman pegawai perkhidmatan awam yang boleh terkesan akibat peruntukan baharu yang dibincangkan oleh ahli panel.

“Peruntukan sebegini perlu untuk pemerkasaan tindakan penguat kuasaan terhadap individu yang terlibat dengan amalan buruk ini, selain mengheret mereka ke muka pengadilan. Pada masa sama, sewajarnya memastikan peruntukan tersebut berkesan dan tepat pada sasarannya.

“Diharap forum ini juga berupaya menangani masalah ketirisan sumber awam serta mengumpul maklum balas daripada akar umbi mengenai peruntukan salah laku dalam badan awam yang masih di dalam kajian,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy