berita rasuah bustersWujud ‘bank idea’ bantu tambah baik advokasi perangi rasuah

Wujud ‘bank idea’ bantu tambah baik advokasi perangi rasuah

SHAH ALAM – Usaha advokasi perangi rasuah dalam kalangan anak muda perlu melibatkan kewujudan sebuah ‘bank idea’ bagi mengumpul pelan dan cadangan tindakan bersesuaian untuk kumpulan sasar.

Penasihat media, Ikram Abdullah berkata, lambakan idea boleh diperoleh melalui perbincangan dan bengkel anjuran pemimpin pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia serta pihak berkaitan.

Menurutnya, bank idea itu sebagai panduan untuk tindakan lanjut agar usaha memerangi rasuah tidak terhenti sekadar memberi kesedaran semata-mata.

“Antara maksud advokasi awam ialah sokongan terhadap sesuatu idea, pelan atau tindakan dalam usaha melakukan sesuatu perkara.

“Maknanya kalau setakat hendak mewujudkan kesedaran, yang itu bagus, tetapi sebenarnya belum cukup bagus. Sebabnya, kalau kita nak wujudkan kesedaran sahaja tetapi tidak ada tindakan selepas itu, apa yang kita lakukan hanya setakat menyampaikan maklumat.

“Tapi sebenarnya kita (untuk advokasi memerangi rasuah) nak buat lebih daripada itu iaitu mendapatkan sokongan untuk idea dan pelan tindakan kita,” katanya ketika program ‘Sidang Meja Bulat-Anak Muda Tolak Rasuah’ anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada Sabtu.

Program berkenaan merupakan sebahagian Bengkel Kesedaran Rasuah Malaysian Youth Anti-Corruption Task Force (MYACT) Zon Timur bagi mengumpulkan resolusi dan pelan tindakan menangani isu rasuah dalam kalangan anak muda.

Bengkel tersebut turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pasukan Rasuah Busters Sinar Harian.

Tambah Ikram, penetapan indikator yang menilai keberhasilan tindakan dilakukan dalam advokasi menentang rasuah perlu turut dilakukan bagi memastikan keberkesanan pelan yang dirancang.

Sementara itu, Ketua Cawangan Sosiobudaya dan Politik SPRM, Ramli Hassan ketika memberikan komen terhadap pembentangan peserta bengkel tersebut berkata, cadangan menangani rasuah dalam proses advokasi perlulah kreatif dan luar daripada kebiasaan.

“Dalam kalangan mereka yang terlibat dengan perbincangan dan proses percambahan idea, saya rasa tentu ada idea lebih kreatif boleh dikeluarkan bagi usaha menerapkan budaya integriti dalam kalangan anak muda.

“Kita perlu kepada idea dan pendekatan yang lebih daripada sekadar hanya… contohnya, perubahan melalui pendidikan dari sekolah dan rumah serta penyediaan modul berkaitan dengan perkara rasuah dalam pengajaran. Ini betul, tetapi hanya idea biasa,” ujarnya.

Menurut Ramli, cadangan tindakan yang dikemukakan itu perlulah benar-benar memastikan bahawa kesedaran hendak disampaikan itu bukan sahaja sampai kepada golongan sasar tetapi memberikan kesan mendalam.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here