More

    Bersama perangi rasuah, jadilah ‘hero’ bukan ‘zero’

    KUALA LUMPUR – “Saya mengharapkan masyarakat mempunyai keberanian untuk katakan tidak kepada rasuah dan juga sanggup untuk melaporkan perbuatan rasuah. Bukan sahaja sekadar cakap-cakap”.

    Demikian pesanan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil yang akan bersara pada September ini kepada seluruh rakyat Malaysia.

    Shamshun Baharin yang menggesa rakyat Malaysia memainkan peranan membanteras sebarang unsur rasuah berkata, setiap individu perlu jadi ‘frontliner’ dalam usaha memerangi jenayah itu kerana setiap maklumat yang disalurkan atau dilaporkan akan membantu SPRM dalam menjalankan siasatan.

    Mengimbau sepintas lalu perkembangan SPRM, beliau berkata, tranformasi Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM merupakan antara usaha dilakukan negara ini bagi mengubah suruhanjaya itu kepada satu entiti yang besar dan lebih telus.

    Menurutnya, transformasi berkenaan merangkumi pembangunan sistem teknologi maklumat yang moden sebagai usaha agensi antirasuah itu untuk menjadi sebuah agensi penguat kuasa yang lebih bebas.

    “Perkara itu saya telah bentangkan kepada Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi sehinggalah ia menjadi kenyataan pada 2009.

    “Kemudian dalam tempoh berada di SPRM, saya juga terlibat membantu dalam pengoperasian dan tugasan harian suruhanjaya ini melalui pembangunan sistem teknologi maklumat (IT) dengan cara memindahkan sistem dalam bentuk manual ke dalam sistem elektronik,” katanya kepada pemberita mengenai pencapaian sektor pencegahan SPRM secara maya.

    Shamshun Baharin berkata, pembangunan sistem yang dikenali sebagai Corruption Reporting Information System (CRIS) di SPRM itu pada mulanya menerima banyak halangan.

    “Kini sistem tersebut digunakan dalam tugasan harian warga SPRM dan proses menambah baik CRIS masih diteruskan mengikut keperluan semasa bagi memastikan keberkesanan sistem tersebut berjalan lancar,” katanya.

    Beliau berkata, semasa memegang jawatan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM pelbagai program dan usaha lain turut dilakukan dalam aspek pencegahan rasuah.

    “Pelbagai pendekatan baharu dibuat bagi memastikan mesej pencegahan rasuah disampaikan kepada seluruh golongan masyarakat antaranya adalah dengan penganjuran program turun padang bagi mendekati masyarakat.

    “Seperti Program Walkabout Perdana sempena Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA), Program Ziarah Kasih SPRM, Kembara Jelajah Antirasuah (KEJAR), Himpunan Dua Roda (H2R) dan lain-lain lagi dengan penglibatan Pengurusan Tertinggi SPRM,” katanya.

    Ditanya mengenai perancangannya selepas bersara, beliau berkata, perkara yang menjadi keutamaan ialah untuk membina rumah sendiri kerana sepanjang berkhidmat dengan SPRM, beliau belum pernah memiliki rumah sendiri. – Bernama

    Latest articles

    Related articles

    Leave a reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here