BeritaLagu ingatkan ibu cetus idea

Lagu ingatkan ibu cetus idea

SHAH ALAM – Lagu yang ditetapkan sebagai peringatan di telefon bimbit untuk menghubungi ibu di rumah merupakan pencetus idea kepada penghasilan klip video Apa Dah Jadi.

Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy berkata, setiap kali lagu nyanyian Tan Sri SM Salim itu kedengaran di telefon bimbitnya, beliau akan menghubungi ibunya, Zahrah Zain berusia 84 tahun.

Menurut Ahli Pasukan Teras Rasuah Busters itu, disebabkan kerap mendengar nada dering itu, terlintas pada fikirannya untuk mengubah lirik lagu tersebut kepada seruan menolak amalan rasuah.

“Lagu yang catchy ini sedap didengar dan boleh terus ke hati. Jadi saya mencadangkan lagu ini kepada Pasukan Rasuah Busters untuk dijadikan sebagai lagu kempen antirasuah di negara ini.

“Akhirnya kami dapat mencari individu yang sesuai untuk menyanyikan lagu ini secara berseloka. Maka kami menghubungi Douglas Lim dan dia bersetuju membantu menjayakan klip video Apa Dah Jadi ini,” jelas beliau.

Apa yang membanggakan, kata Anas, tidak sampai seminggu klip video itu dilancarkan, jumlah tontonan yang dicapai mencecah satu juta.

Sementara itu mengulas mengenai video empat bahasa yang dihasilkan untuk kempen ‘Merdekakan Kami Daripada Rasuah’, beliau berkata, keupayaan luar biasa pelakon kanak-kanak berjaya membuatkan klip video pendek itu mendapat tempat di hati orang ramai.

Anas berkata, selain kebolehan semula jadi kanak-kanak bertuah tersebut, keikhlasan ibu bapa membantu merakam video itu merupakan teras kejayaan bersama semua pihak dalam memerangi rasuah di negara ini.

Katanya, susulan ketetapan ketat prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kesemua video berkenaan dihasilkan secara maya menerusi bimbingan dua pengarah, Alvin Teoh yang merupakan Pengarah Kreatif Eksekutif NagaDDBTribal dan Al Isaac pula pengasas Superwonderful.com merangkap pengarah filem.

Anas bersyukur kerana kedua-dua pengarah kreatif tersebut tidak mengenakan sebarang caj dan ia dibuat secara sukarela.

Beliau yang merupakan tonggak penghasilan video antirasuah itu berkata, menerusi cetusan idea asal daripadanya dan kerjasama erat rakan setugas Pasukan Rasuah Busters menjadikan kempen ‘Merdekakan Kami Daripada Rasuah’ begitu dekat dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Apa yang menarik, keempat-empat video Merdekakan Kami Daripada Rasuah lakonan kanak-kanak berbilang bangsa ini dibuat secara one shoot atau sekali lafaz sahaja serta dirakam sendiri oleh ibu bapa mereka menerusi bimbingan Alvin dan Isaac tanpa ada sebarang suntingan.

“Kita nak pastikan video berdoa kanak-kanak ini nampak real dan original (situasi sebenar), sekali gus mampu menarik perhatian penonton melihat keletah kanak-kanak itu yang takut merima balasan Tuhan jika terlibat dengan gejala rasuah,” katanya.

Empat video Merdekakan Kami Daripada Rasuah mengetengahkan pelakon kanak-kanak iaitu Said Faleeq Mohd Fareez, Kimi Ng Yee Bin, Krishan Ganapathy dan Dayna Leia Soliano Rozells sebagai anak-anak Malaysia yang mewakili kepelbagaian agama dan bangsa di negara ini.

Mengulas lanjut, Anas berkata, keikhlasan dan semangat jitu daripada individu-individu yang mahu melihat amalan rasuah dilenyapkan dalam diri masyarakat berbilang bangsa menyaksikan video kreatif kempen Merdekakan Kami Daripada Rasuah mendapat tontonan tinggi di media sosial.

Katanya, kerjasama penuh dan cekap daripada semua pihak menjadikan video-video itu berjaya dihasilkan dengan baik, seterusnya memenuhi matlamat membasmi rasuah dalam generasi Malaysia sejak di peringkat awal usia.

Menurut Anas, pihaknya sangat berharap ibu bapa atau golongan dewasa boleh berkongsi video kanak-kanak tersebut dengan anak-anak di dalam keluarga mereka.

Tambahnya, perancangan menghasilkan video Merdekakan Kami Daripada Rasuah dibuat sejak awal tahun bagi meraikan Hari Kebangsaan dengan tema Bebas tanpa rasuah’.

Selain itu, jelas beliau, penghasilan video-video tersebut merupakan kesinambungan daripada video kempen rasuah Mak Kata Jangan.

“Saya sangat berharap penghasilan video seumpama ini mampu memberi kefahaman dan penjelasan buat anak-anak kecil tentang bahaya rasuah sekiranya mereka terlibat pada masa hadapan,” tegas beliau.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy