Malaysia belum merdeka, bebas daripada rasuah

0
68
Lee Lam Thye
Lee Lam Thye

SHAH ALAM – Malaysia masih belum merdeka dan bebas daripada budaya rasuah yang dilihat semakin berleluasa di negara ini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perkara tersebut adalah salah satu cabaran utama kepada seluruh masyarakat dalam usaha memerangi jenayah rasuah.

Meskipun negara sudah membangun dan merdeka selama 63 tahun, namun rasuah masih kekal bernaung dalam negara sehingga kini.

“Apabila kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-64 kita juga harus memikirkan bagaimana kita boleh memerdekakan serta membebaskan negara daripada rasuah.

“Saya menganggap rasuah satu cabaran bukan sahaja kepada kerajaan tetapi kepada semua masyarakat daripada pelbagai sektor sama ada kerajaan atau swasta,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, pentadbiran baharu sempena pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri diharap dapat memberi lebih banyak tumpuan kepada usaha menentang jenayah rasuah dalam negara ini.

“Pada masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu dilengkapi dengan segala kemudahan dari aspek tenaga, peruntukan, dan lain-lain yang boleh menjadikan SPRM lebih cekap dalam memerangi isu rasuah di negara kita.

“Saya rasa ini adalah dua perkara yang patut diberikan keutamaan,” ujarnya.

Tambah beliau, negara memerlukan sebuah media bebas yang bertindak sebagai saluran bagi membongkar sebarang aktiviti rasuah dalam negara ini.

Cadangan ini ujar beliau dapat memupuk kesedaran dan pendidikan mengenai bahaya rasuah.

“Yang kedua adalah mengalakkan perbincangan wacana mengenai isu-isu integriti dan penyalahgunaan kuasa.

“Ketiga, membangunkan kesedaran sivik bagi memupuk budaya ketelusan dan integriti dalam kalangan rakyat. Bagi saya ini sangat penting kerana kita hendak mendidik generasi muda,” jelasnya.

Beliau berpendapat, golongan muda perlu diberi pendidikan awal supaya mereka melihat rasuah itu sebagai suatu perkara yang jijik dan membencinya seperti dadah.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here