BeritaParti politik perlu sokong cadangan reformasi institusi, undang-undang

Parti politik perlu sokong cadangan reformasi institusi, undang-undang

SHAH ALAM – Semua parti politik perlu menyokong cadangan untuk melakukan reformasi institusi dan undang-undang bagi membendung gejala rasuah dalam kalangan masyarakat khususnya ahli politik di negara ini.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, reformasi itu membabitkan akta anti lompat parti, pembiayaan politik dan menetapkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri.

Selain itu, beliau berkata, ia membabitkan pengasingan kuasa antara peguam negara dengan pendakwa raya serta mengadakan satu peruntukan untuk pengisytiharan harta dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya ingin menyeru kepada ahli-ahli panel yang mewakili parti masing-masing untuk memberi sokongan kepada cadangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung perkara ini (reformasi institusi dan undang-undang).

“Sudah tiba masanya untuk membawa perubahan ini di Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama forum ‘Belia dan Hala Tuju Politik Bebas Rasuah di Malaysia’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian pada Sabtu.

Forum yang berlangsung kira-kira dua jam itu turut menampilkan empat ahli panelis iaitu Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan; Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS dan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan) Labuan, Nurshafiqah Zairina.

Pengurus Projek dan Operasi Institut Kajian Kepimpinan dan Pembangunan (Lead), Tarmizi Anuwar pula bertindak sebagai moderator.

Program tersebut merupakan anjuran TI-M dengan sokongan Inisiatif Pembaharuan Malaysia (MARI), Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia; Sinar Harian dan Rasuah Busters.

Sementara itu, Muhammad berkata, pemimpin muda atau belia memainkan peranan penting melakukan perubahan bagi memastikan politik di Malaysia bebas daripada rasuah.

Beliau berkata, jika tiada perubahan, dibimbangi akan memberi kesan lebih besar kepada negara.

Menurutnya, kajian Barometer Rasuah Global Asia 2020 oleh Ti-M berkaitan rasuah mendapati sebanyak 71 peratus responden terdiri daripada rakyat Malaysia beranggapan rasuah sebagai masalah besar dalam kerajaan.

“Kita mendapati ada empat golongan teratas paling tinggi terlibat dalam rasuah. Malang sekali, ia adalah ahli Parlimen sebanyak 36 peratus, diikuti pegawai polis (30 peratus), pegawai kerajaan (28 peratus) dan ahli perniagaan (27 peratus).

“Bertunjangkan sebab inilah kita di TI-M berasakan webinar ini amat bertepatan pada waktunya memandangkan belia harus bersedia mendepani cabaran sesuai dengan semangat untuk membawa perubahan dalam negara,” ujar beliau.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here