BeritaPengarah filem mahu dana RM40j Finas disiasat

Pengarah filem mahu dana RM40j Finas disiasat

SHAH ALAM – Seorang pengarah dan penulis skrip filem mendakwa Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai lebih RM40 juta yang disalurkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kemungkinan telah diseleweng.Mohd Asri Alias, 46, mendakwa, perkara itu membabitkan kategori Dana Filem Cereka yang diagihkan kepada 60 buah syarikat.

Menurut ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) itu, berdasarkan semakan ke atas penerima dana Finas baru-baru ini, tersenarai tiga syarikat yang mempunyai hubungan kekeluargaan atau talian persaudaraan dengan pihak pengurusan Finas.

Dakwa beliau, perkara tersebut menyalahi Akta 244 Finas 1981 dan Akta 694 SPRM 2009, justeru laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mengesyaki berlaku penyalahgunaan kuasa oleh pihak pengurusan Finas, saya telah membuat laporan polis dan SPRM berhubung perkara ini.

“Saya telah mengemukakan bukti kepada kedua-dua badan penyiasat negara ini bagi membolehkan siasatan dilakukan,” katanya ketika sidang akhbar secara maya pada Isnin.

Menjelaskan pendedahannya itu, beliau berkata, borang permohonan DKD melalui Perkara 1.10 Pernyataan Kepentingan DKD, ada mensyaratkan kolum untuk mengisi hubungan pemohon dengan pengarah atau kakitangan Finas.

“Malah saya secara peribadi telah mendapatkan pandangan daripada pihak peguam mengenai tindakan yang ingin saya lakukan ini,” jelas beliau.

Mohd Asri memberitahu, beliau membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah di sini pada 29 Julai lalu, manakala SPRM 20 Ogos lepas.

Sehubungan itu, beliau mahu Finas bersifat telus dalam pengagihan dana perbadanan itu kepada pemain industri kreatif negara dan mendedahkan jumlah peruntukan sebenar yang diberikan kepada penerima-penerima dana.

“Ramai yang ingin mengetahui berapa jumlah dana diberikan kepada satu-satu pemain industri filem yang layak itu.

“Ini bagi mengelakkan sebarang syak wasangka yang tidak baik atau keraguan kepada penerima-penerima, sekali gus membuktikan ketelusan Finas dalam pengagihan dana kepada semua pemohon,” katanya.

Mohd Asri yang mendakwa tidak pernah menerima sebarang maklum balas daripada Finas berhubung permohonannya sejak tahun 2015 berkata, Finas perlu sekurang-kurangnya memaklumkan alasan permohonannya ditolak atau menjelaskan mengapa beliau tidak layak menerima bantuan dana.

Beliau turut melahirkan rasa terkilan apabila beberapa kali permohonannya ditolak tanpa sebarang alasan sedangkan borangnya lengkap dan layak kerana menyertakan kejayaan syarikatnya menghasilkan filem yang memenangi anugerah.

Ditanya kenapa tidak menggunakan platform FDAM untuk pendedahannya itu, Mohd Asri menjelaskan, beliau tidak mahu melibatkan pihak persatuan biarpun dirinya sangat aktif dalam persatuan tersebut.

Selain itu, beliau mendakwa tidak mahu menggunakan kepentingan dan kenalannya dalam FDAM berhubung isu berkenaan.

“Bagaimanapun FDAM mengetahui tindakan saya membuat laporan polis dan SPRM, selain mengetahui sidang akhbar yang saya lakukan pada hari ini (semalam),” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here