berita rasuah bustersSEDAR saran tubuh ejen pemantau, siasat salah laku

SEDAR saran tubuh ejen pemantau, siasat salah laku

SHAH ALAM – Setiap agensi sama ada parti politik, kerajaan atau pihak swasta perlu mempunyai mekanisme dan ejen pemantau dalam menangani isu rasuah yang kian berleluasa.

Presiden Jaringan NGO Sedar (SEDAR), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, sistem tersebut dapat menyiasat dan memantau segala tingkah laku warga organisasi di bawah agensi berkenaan.

Beliau berkata, rasuah sistematik dilihat amat membimbangkan kerana ia seolah-olah sudah menjadi satu budaya di Malaysia.

“Mereka yang terlibat hendaklah dihukum segera termasuk memecat mereka daripada mana-mana jawatan sama ada politik, perkhidmatan awam mahupun swasta.

“Rasuah sistemik juga merupakan antara senjata utama penjenayah yang mana boleh mencemarkan kedaulatan Malaysia di samping mengancam keselamatan nasional,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, beliau berkata, budaya rasuah menyebabkan kuasa politik Melayu digunakan oleh sesetengah pengamalnya untuk memenuhi kepentingan diri sehingga menjejaskan undang-undang sedia ada.

“Perkara yang haram dibiarkan berleluasa seperti pencerobohan musang king di Pahang. Begitu juga pendedahan bekas Ketua Polis Negara baru-baru ini.

“Keadaan ini menyebabkan keselamatan politik, ekonomi Melayu-Islam diancam. Perpecahan dan perbalahan akibat rasuah turut menggugat keselamatan dan kestabilan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, langkah proaktif perlu dilakukan segera supaya kejadian sama tidak terus berulang.

“Pelbagai teknologi terkini termasuk aplikasi ‘blockchain’ perlu dipraktikkan segera dalam usaha pemantauan pencegahan rasuah yang berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong penuh gerakan Sinar Rasuah Busters.

Beliau berkata, inisaitif tersebut tepat pada masanya kerana sekiranya tiada laporan dibuat mengenai rasuah, ia tidak dapat ditangani pihak berkuasa.

“Usaha Sinar Harian ini juga selaras dengan perkembangan teknologi terkini kerana penyaluran maklumat cepat dan pantas membolehkan maklumat perlakuan jenayah rasuah dapat disalurkan segera,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here