Empat bidang pengurusan terdedah rasuah

0
504

SHAH ALAM – Kementerian Kewangan (MOF) telah mengenal pasti empat bidang keutamaan yang berisiko terdedah kepada kegiatan rasuah dalam negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, bidang terbabit ialah pengurusan kewangan, pengurusan perolehan, pengurusan pelaburan serta pengurusan pentadbiran.

Susulan itu, beliau berkata, sebanyak empat strategi dan 53 inisiatif telah diperkenalkan MOF sebagai usaha menambah baik bidang-bidang tersebut.

“Empat strategi tersebut ialah yang pertama memantapkan kecekapan, ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan. Kedua, memperkukuhkan urusan perolehan kerajaan.

“Strategi ketiga ialah memperkukuhkan tadbir urus dan kompetensi wakil MOF dalam syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan dan badan berkanun kesatuan, menambah baik tadbir urus urusan pinjaman serta jaminan kerajaan Persekutuan.

“Sementara strategi keempat ialah meningkatkan kompetensi pegawai dan ketelusan pentadbiran,” katanya ketika program Siri Wacana Dasar Dua secara dalam talian bertajuk ‘Rasuah dan Generasi Muda’ menerusi aplikasi Zoom pada Rabu.

Mohd Shahar berkata, golongan muda membentuk peratusan besar dalam perkhidmatan kerajaan yang mana kebanyakan mereka terlibat dalam bidang mengendalikan pengoperasian, proses perolehan, pelesenan, pendaftaran dan sebagainya.

“Seandainya mereka ini mengamalkan akhlak yang mulia, jujur, ikhlas dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja, isu ini dapat kita atasi.

“Generasi muda buat masa ini sangat berani memperjuangkan pegangan mereka. Saya yakin anak-anak muda akan bangun bersama kerajaan menentang amalan rasuah,” ujarnya.

Jelas beliau, bagaimana cara untuk mewujudkan generasi pertama bebas rasuah adalah sangat kritikal ke arah membantu pembangunan negara pada masa hadapan.

“Sebab itulah anak-anak muda harus dididik untuk membenci rasuah daripada awal supaya apabila terjun ke dunia pekerjaan, mereka tidak akan mudah termakan dengan pujukan rasuah.

“Integriti mestilah ditanam apabila seseorang individu khususnya anak muda yang baru menyertai organisasi supaya ia menjadi sebahagian daripada identiti beliau,” jelasnya.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here