IPOH- Kerajaan perlu menggerakkan kempen rasuah sebagai musuh nombor satu negara secara agresif seperti kempen antidadah sebelum ini.
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Muhammad Faeez Azahar berkata, untuk membangkitkan kesedaran secara total dalam kalangan masyarakat bukanlah satu perkara yang mudah namun usaha ke arah itu mesti digerakkan daripada sekarang.
Menurutnya, program-program kesedaran perlu dipergiatkan secara menyeluruh.
“Kita perlu menggunakan seluruh medium dan segala kaedah yang difikirkan sesuai untuk membangkitkan kesedaran bahaya rasuah. Pelaku rasuah perlu dilabel sebagai pengkhianat negara dan masyakat kerana gejala ini mampu meruntuhkan nilai-nilai sejagat serta merosakkan sistem kehidupan bermasyarakat.
“Rakyat perlu diberi kefahaman yang lebih terperinci tentang apa definisi rasuah dan apa contoh-contoh yang diklasifikasikan sebagai rasuah. Jika rakyat faham dan sedar, rasa jijik kepada rasuah itu akan muncul dan akhirnya rakyat akan menjauhkan diri daripada gejala ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Muhammad Faeez berkata, kesedaran rasuah dalam kalangan masyarakat masih rendah malah mungkin ramai yang tidak tahu maksud rasuah yang sebenarnya sehinggakan mereka tidak berasa jijik melakukan perbuatan itu.
Katanya, disebabkan itu juga masyarakat tidak sedar bahawa gejala rasuah itu berlaku di sekeliling mereka kerana menganggap ia hanya berlaku di peringkat pemimpin atau pegawai atasan sahaja sedangkan ia berlaku dalam kehidupan seharian.
“Rasuah adalah satu perkara yang sangat dibenci dalam Islam namun masyarakat Islam itu sendiri tidak rasa jijik dengan perbuatan terkutuk itu. Rasulullah SAW telah menegaskan perasuah dan penerima rasuah tempatnya di dalam neraka tetapi gejala rasuah ini sangat tegar berlaku dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
“Kesedaran yang rendah ini adalah satu malapetaka kepada negara dan ia akan menjadi barah sekiranya tidak atas usaha kesedaran tentang perkara ini,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau menyarankan tindakan undang-undang lebih tegas agar masyarakat takut untuk mendekati dengan amalan rasuah tersebut.
Menurutnya, tindakan juga perlu selari dengan ketegasan terhadap kesalahan melibatkan najis dadah dengan hukuman yang lebih berat.
Selain itu katanya, kesedaran mengenai perbuatan rasuah itu perlu dimasukkan dalam silibus sekolah bagi memastikan ia bermula dari akar umbi lagi.
Jelas Muhammad Faeez, jika sejak kecil lagi rakyat sudah dididik tentang jijiknya rasuah dan maksud sebenar rasuah, gejala tersebut dijangka dapat dibasmi dengan lebih berjaya.