JKSB ikrar bebas rasuah

0
495

BATU KAWAN – Pemegang konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) berikrar akan lebih berintegriti dan menentang amalan rasuah dalam pengendalian operasi dan perniagaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Faisal Shahbudin berkata, dalam mengukuhkan komitmen syarikat terhadap isu rasuah, pihaknya telah menubuhkan sebuah unit bebas, Unit Integriti Korporat pada tahun lalu.

Menurutnya, tanggungjawab untuk menentang amalan rasuah bukan terletak kepada unit bebas itu semata-mata sebaliknya menjadi tanggungjawab semua pihak.

“Pihak pengurusan syarikat juga perlu memberi teladan yang baik kepada semua kakitangan dalam mendidik mereka menentang amalan berkaitan rasuah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Faisal menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Pejabat Operasi JKSB di sini, yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Lim Bee Kean.

Mengulas lanjut, Faisal berkata, ikrar tersebut dibuat selaras dengan komitmen syarikat dalam mengamalkan urus tadbir korporat yang cemerlang dan berintegriti.

“Majlis ini membuktikan sokongan JKSB dalam menentang amalan rasuah dan pada masa yang sama sebagai dorongan kepada amalan operasi dan perniagaan yang lebih berintegriti tanpa kompromi.

“Ikrar Bebas Rasuah menggalakkan pihak pengurusan dan kakitangan sesebuah syarikat menyatakan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi dalam menjalankan tugasan yang diberikan secara telus, berintegriti dan amanah selain menentang amalan rasuah yang semakin merebak pada masa kini,” katanya.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here