berita rasuah bustersKelab motosikal sebar mesej antirasuah

Kelab motosikal sebar mesej antirasuah

PUTRAJAYA – Rangkaian kolaboratif melalui kempen ‘Rasuah Busters Outreach’ menyasarkan transformasi ahli kelab penunggang motosikal sebagai ejen pengembangan ke arah benci rasuah.

Presiden Graftbusters, Datuk Abdul Samad Kasah berkata, fungsi ejen pengembangan dilihat mampu menyebarkan mesej-mesej antirasuah kepada kelompok persekitaran mereka.

“Selepas ini mungkin kita dapat mengatur beberapa aktiviti (di mana) mereka ini dapat jadi ejen pengembangan.

“Ejen pengembangan dalam kalangan ahli kelab penunggang motosikal ini boleh menyebarluaskan mesej-mesej antirasuah.

“Selain itu, mereka menjadi ejen pengembangan untuk unsur-unsur positif dan baik yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) serta Rasuah Busters,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian sempena kempen antirasuah menerusi sesi konvoi beramai-ramai bermula di pekarangan Pusat Komuniti Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Putrajaya hingga ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada pagi Ahad.

Ia melibatkan MyIkram Bikers (MIB), TM Bikers dan Graftbusterriders dalam menyatakan usaha dan komitmen dalam perangi segala aktiviti rasuah di negara ini.

Sementara itu, Abdul Samad berkata, potensi penyebaran itu dilihat dapat menular dengan lebih luas kerana ahli-ahli kelab permotoran berkenaan terdiri daripada pelbagai latar belakang berbeza.

“Ahli-ahli kelab ini terdiri daripada golongan profesional. Ada doktor pakar, jurutera, usahawan dan lain-lain.

“Jadi, kita biar mereka sendiri memahami dan tidak terlibat dengan apa-apa penggubalan rasuah.

“Pada masa sama, mereka boleh menjadi orang yang menyebar luas mesej dalam kalangan keluarga dan ahli-ahli kelab penunggang motosikal sendiri.“Insya-ALLAH kalau ada rezeki, kita akan luaskan lagi supaya ia melibatkan lebih ramai masyarakat,” katanya.

Abdul Samad berkata, beliau turut menyokong usaha Sinar Harian yang menggerakkan Rasuah Busters.

“Saya amat berharap Rasuah Busters ini akan mendapat sokongan daripada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dan menjadi satu titik tolak perubahan nilai moral bangsa.

“Pencegahan boleh berjaya apabila ia datang daripada setiap lapisan masyarakat. Jadi apabila Rasuah Busters digagaskan oleh Sinar Harian, ia menjadi satu asas untuk menggabungkan semua usaha daripada pihak lain,” kata beliau.

REAKSI

“Untuk program rasuah ini, kita sudah ada perancangan yang pada saya cukup komprehensif. Kita akan memeriahkan bersama-sama supaya pemasaran kempen ini lebih meluas dan kita dapat membudayakan integriti dalam kehidupan seharian dengan lebih berkesan.”

– AJK TM Riders, Mohd Kamal Ariffin Bunyamin

“TM Bikers menerapkan konsep moral integriti di hati dalam setiap aktiviti yang dilakukan termasuk program ini. Pada masa yang sama kita jauhi sebarang salah laku rasuah, yang boleh mencemar nama syarikat, keluarga dan diri sendiri. TM Bikers sentiasa komited untuk menolak sebarang amalan rasuah dalam segala urusan perniagaannya.”

– Naib Presiden TM Bikers, Mohd Reham Abdul Rahman

“Program ini boleh meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya memerangi najis rasuah daripada pelbagai peringkat. Diharapkan usaha ini tidak terhenti kepada satu program sahaja, sebaliknya akan diteruskan lagi dengan program lain untuk mendidik masyarakat.”

– Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy