Kurang penghayatan akhlak punca rasuah meningkat

0
510

SHAH ALAM – Kurang penghayatan akhlak dalam pengajaran agama menjadi salah satu punca kepada peningkatan rasuah di negara ini.

Presiden Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Abdullah Bukhari Abdul Rahim berkata, untuk itu kempen kerohanian perlu dilaksanakan secara besar-besaran bagi mengatasi jenayah tersebut.

“Mengapa saya sebut penghayatan akhlak? Sebab kadangkala yang terlibat rasuah bukannya tak tahu dosa rasuah tetapi gagal menghayati maksud akhlak. Agama dengan jelas menegaskan tentang bahaya rasuah, cuma ia tak membekas mungkin kerana kurangnya penghayatan.

“Bagi saya ia patut diserap masuk ke dalam silibus pendidikan sejak kecil supaya anak bangsa tidak membesar dengan rasa keji dengan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, konsep beriman kepada ALLAH dan akhirat perlu diperjelaskan dalam pembelajaran dari sudut akidah kerana ia merupakan akar kehidupan Muslim.

“Walaupun kita mungkin terlepas daripada tangkapan, namun ALLAH tetap tahu dan ia pasti dibalas setimpal di akhirat.

“Para pemimpin jangan lokek atau malu untuk mengingatkan perihal ancaman akhirat kepada pemakan rasuah atau individu yang berpotensi makan rasuah. Ayat al-Quran dan hadis berkaitan rasuah perlu didedahkan secara besar-besaran kepada orang awam,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Abdullah Bukhari berkata, majikan dan pegawai-pegawai tinggi perlu tegas dan sentiasa memberi peringatan mengenai bahaya rasuah kepada pekerja.

“Perlu ada orientasi dan audit berkala terhadap pegawai yang berpotensi mengambil rasuah. Juga perlu dibuat silibus tentang integriti yang memasukkan sudut setiap agama,” jelasnya.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here