Libatkan NGO perangi rasuah

0
379

KANGAR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan golongan muda pelbagai kaum perlu dilibatkan dalam kempen memerangi rasuah di negara ini.

Setiausaha Persatuan Penggerak Ekonomi dan Kebajikan Amal Malaysia (Pendeka), Abd Agfarnizar Abdul Wahab ketika menyuarakan cadangan itu berkata, golongan muda masih belum terdedah dengan anasir negatif yang cenderung kepada amalan rasuah.

Selain itu, kata beliau, tugas memerangi rasuah tidak boleh diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata sebaliknya NGO boleh berperanan aktif sebagai perantara antara masyarakat dan kerajaan khususnya SPRM.

“NGO boleh menjadi mata dan telinga bagi pihak SPRM dalam membantu memerangi gejala rasuah.

“Kita tidak mempunyai banyak masa lagi. Gejala rasuah sudah menjadi barah dalam masyarakat,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurut beliau, sudah tiba masanya para pelajar dan golongan muda untuk lebih aktif melibatkan diri dalam kempen antirasuah di negara ini.

NGO juga, tambah beliau, perlu menjalin kerjasama lebih erat dengan SPRM, para pemimpin dan komuniti bagi menjayakan pelan antirasuah.

Beliau menegaskan, pihaknya sendiri akan mengadakan perbincangan bagi melaksanakan agenda membanteras jenayah rasuah.

“Kesedaran rasuah menerusi pendidikan antara saluran penting khususnya bagi mendidik golongan muda.

“Ia perlu diterapkan sejak mereka di bangku sekolah lagi bagi melahirkan nilai moral dan integriti yang tinggi dalam diri masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Agfarnizar berkata, Pendeka menyokong penuh kempen Rasuah Busters yang dipelopori Sinar Harian bagi mencegah dan membanteras rasuah di negara ini.

“Kempen Rasuah Busters ini tepat pada masanya kerana rasuah telah menjadi satu budaya buruk yang mempunyai impak besar dalam masyarakat,” ujarnya.

Tegas beliau, perbuatan memberi atau menerima rasuah perlu dihentikan segera bagi memastikan negara serta generasi akan datang terus terpelihara daripada melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Didikan sejak awal dan bimbingan berterusan perlu diberikan kepada golongan muda supaya mereka tahu membezakan mana yang baik dan buruk, agar tidak terjebak dengan amalan rasuah.

“Sekiranya kita dapat meningkatkan kesedaran golongan muda mengenai betapa jijiknya memberi dan menerima rasuah, kita pasti akan berjaya,” katanya.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here