MEF sokong misi Rasuah Busters

0
371

SHAH ALAM – Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) akan menggembleng kerjasama seluruh anggota badan itu bagi menyebar luas misi gerakan Rasuah Busters bagi menyemai nilai-nilai positif bagi memerangi rasuah.

Melahirkan sokongan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pasukan Teras Rasuah Busters, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub hari ini, Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pihaknya senantiasa menekankan keperluan mengamalkan nilai integriti dan tadbir urus yang baik di kalangan ahli mereka bagi melahirkan masyarakat dan negara bebas rasuah.

“Ini kami lakukan dari dahulu lagi, termasuk apabila aspek liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diperkenalkan.

“Kami amat konsisten dalam hal ini. MEF juga mahu memastikan ahli-ahli kami menjalankan perniagaan tanpa ada amalan rasuah dan ini adalah baik untuk semua, dan juga negara dalam jangka panjang,” tegas beliau selepas mengadakan sesi dialog bersama Rasuah Busters secara dalam talian.

Rasuah Busters ditubuhkan lima bulan lalu dengan matlamat menyemai nilai-nilai positif yang boleh menghindari rasuah di semua peringkat negara. Bagi tujuan tersebut, Rasuah Busters telah menubuhkan Coalition of the Willing bagi rakyat pelbagai lapisan sama ada individu, pertubuhan dan badan profesional menyertai usaha memupuk sistem nilai positif ke arah melahirkan sebuah negara bebas rasuah.

Sehubungan dengan itu, Shamsuddin berkata, MEF yang dianggotai lebih daripada 6,200 anggota syarikat individu dan 28 pertubuhan, akan menjalin kerjasama bersama Rasuah Busters bagi membawa misi menyemai nilai-nilai positif memerangi rasuah.

“Buat peringkat awal, kami menjemput Rasuah Busters untuk mengadakan sesi penerangan kepada ahli-ahli kami di peringkat wilayah, di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, bagi mencapai sasaran kerjasama ini.

“Lazimnya mesyuarat ini dihadiri oleh pegawai sumber manusia, yang boleh bertindak menyampaikan mesej integriti dan tadbir urus baik kepada pekerja-pekerja mereka di semua peringkat,” jelas Shamsuddin.

Dalam pada itu, Hussamuddin memberitahu, misi yang diketengahkan oleh Rasuah Busters tidak boleh dicapai tanpa sokongan seluruh rakyat secara konsisten.

“Saya percaya MEF merupakan satu entiti penting di mana ahli-ahli MEF menggajikan kira-kira tiga juta pekerja. Ini satu angka dan jumlah yang penting lagi signifikan.

“Oleh itu Rasuah Busters menyambut baik sokongan yang dizahirkan oleh MEF hari ini. Saya percaya sokongan ini akan kukuhkan langkah kami ambil empat bulan yang lalu,” tegas Hussamuddin sambil menambah bahawa pihaknya perlu menggunakan formula sains memerangi Covid-19 dalam melawan amalan rasuah.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here