berita rasuah bustersNegara musnah jika pemimpin, masyarakat amal rasuah

Negara musnah jika pemimpin, masyarakat amal rasuah

SEREMBAN – Amalan memberi dan menerima rasuah perlu ditangani segera bagi memastikan masa depan negara berada dalam keadaan baik.

Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat Negeri Sembilan, Nicole Tan berkata, sesebuah negara boleh runtuh sekiranya pemimpin dan masyarakat mengamalkan rasuah.

“Kita tidak mahu negara musnah disebabkan amalan rasuah, masa depan negara dan rakyat perlu dibentuk bermula sekarang.

“Jika kita dapat perangi rasuah bermula hari ini, saya yakin masa depan generasi akan datang pasti terjamin sekali gus membentuk sebuah negara yang disegani.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di negara luar, yang kaya dan maju tetapi rakyat serta pentadbirnya mengamalkan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, ADUN Bukit Kepayang itu berkata, sikap memberi dan menerima rasuah adalah perbuatan kejam sama seperti kesalahan membunuh.

Katanya, terdapat banyak amalan rasuah berlaku dalam hal ehwal kontraktor, malah ada yang sanggup membayar ‘ejen’ semata-mata untuk mendapatkan projek.

“Situasi seperti ini perlu diperbetulkan, hanya kerana mahu cari jalan mudah mereka terlibat dengan aktiviti rasuah.

“Bagi saya setiap masyarakat sepatutnya sedar dengan kesalahan memberi dan menerima rasuah itu adalah perbuatan yang terkutuk serta perlu dijauhi demi kepentingan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Nicole menyifatkan sifat pentingkan diri sendiri dan mahu hidup mewah menjadi antara faktor amalan rasuah berlaku dalam masyarakat.

“Selain itu, gaji yang rendah dan kos hidup terlalu tinggi turut menjadi salah satu punca mengapa rasuah ini diterima dan dianggap perkara biasa dalam kalangan masyarakat.

“Oleh itu, jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini perlu dilihat sehingga ke akar umbi sekiranya kita mampu mengurus tadbir negara secara telus dalam semua aspek. Pastinya kita dapat atasi masalah ini secara berkesan,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here