berita rasuah bustersNGO perlu pupuk belia benci rasuah

NGO perlu pupuk belia benci rasuah

JOHOR BAHRU – Usaha membanteras rasuah perlu dijayakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya melibatkan golongan belia yang merupakan pelapis masa hadapan negara.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani Johor, Noorsaiful Amri Suloh berkata, pendekatan membawa mesej memerangi rasuah kepada golongan belia berumur bawah 40 tahun cukup penting kerana semakin ramai golongan belia terbabit dalam rasuah sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, berdasarkan data dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2019, ramai penjawat awam yang terbabit dalam gejala rasuah membabitkan golongan muda berusia bawah 40 tahun.

“Kerajaan dan semua pihak perlu mengambil berat jenayah rasuah dalam kalangan masyarakat dan langkah drastik serta holistik diperlukan bagi membendungnya sehingga akar umbi.

“Golongan muda terutama belia dilihat lebih mudah terdedah dengan budaya rasuah disebabkan pelbagai faktor seperti peningkatan kos hidup.

“Justeru, kesedaran awal harus dipupuk bagi memastikan budaya negatif ini dapat dihapuskan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Noorsaiful, jika usaha membanteras gejala rasuah tidak dilaksanakan di peringkat belia, kemungkinan akan timbul tanggapan perlakuan negatif ini merupakan amalan biasa.

“Usaha ini penting dalam mewujudkan masyarakat kelas pertama yang bebas rasuah seterusnya membantu perkembangan dan pembangunan negara pada masa hadapan tanpa rasuah,” katanya.

Justeru, beliau berkata, cukup penting untuk menyemai budaya membenci rasuah dalam kalangan belia.

“Saya yakin NGO berkaitan dapat membantu usaha ini menerusi program dan kegiatan yang mereka lakukan tidak kira sama ada di bandar mahupun desa.

“NGO juga perlu mengutamakan penekanan budaya membenci rasuah dalam setiap program dan kegiatan yang mereka laksanakan,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy