berita rasuah bustersRasa bersalah seumur hidup

Rasa bersalah seumur hidup

SEREMBAN – Amalan rasuah perlu dibendung lebih awal bagi memastikan generasi akan datang bersih daripada najis rasuah.

Ketua Biro Perhubungan Korporat Pertubuhan IKON Malaysia, Desmond Tan berkata, jika amalan benci rasuah selalu diterap dalam minda sejak dari awal kanak-kanak, perbuatan itu akan dijauhi pada masa akan datang.

Menurutnya, peranan ibu bapa dan pegangan agama yang kuat dapat membantu mengelakkan diri seseorang daripada terlibat dengan jenayah rasuah.

“Bagi saya peranan individu dan juga masyarakat sekeliling dapat membantu membendung gejala rasuah ini. Jika tiada tawaran pasti tidak ada penerimaan.

“Jika seseorang itu kuat pegangan agamanya, pasti dia malu untuk meminta atau memberi rasuah kerana dalam semua agama menyatakan amalan rasuah itu perbuatan jahat yang perlu dijauhi,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Desmond berkata, amalan suka hidup mewah dan bermegah-megah perlu dielakkan jika diri sendiri kurang berkemampuan.

Katanya, setiap individu perlu hidup dengan kemampuan sendiri dan berusaha untuk mencapai kejayaan dengan ‘kaki sendiri’ tanpa melalui jalan singkat.

Tegas Desmond, mereka yang melakukan aktiviti rasuah ini hidup mereka akan dibelenggu dengan perasaan bersalah sepanjang hayat dan rasa tidak aman kerana mereka tahu telah melakukan perbuatan salah serta tidak akan terlepas daripada hukuman undang-undang jika disabitkan kesalahan.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here