Rasuah ibu segala kejahatan

0
513

SHAH ALAM – Rasuah itu menguntungkan sebilangan kecil yang terlibat, tetapi akan memberi kesan negatif kepada perkembangan sesebuah negara dan rakyat semakin menderita.

Presiden Persatuan Penduduk Petaling Jaya (MyPJ), Jeffrey Phang berkata, ini kerana aktiviti rasuah boleh diibaratkan ibu segala kejahatan. Masalah sosial, ekonomi atau alam sekitar, ia selalu menjadi punca berlakunya aktiviti rasuah.“Ringgit Malaysia kita juga semakin susut nilainya dan ia boleh dikaitkan dengan aktiviti rasuah.

“Sekiranya anda membandingkan nilai ringgit dengan mata wang Singapura, kita seolah-olah memerlukan RM3 untuk membeli SG$1.

“Walaupun negara ini terdapat banyak sumber, kita kehilangan semua kelebihan ini hanya kerana rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.Jeffrey berkata, beliau kecewa dengan apa yang berlaku di negara ini di mana Malaysia terkenal di seluruh dunia sebagai negara yang mengamalkan aktiviti korupsi.

“Sangat kecewa, budaya memberi dan menerima rasuah seolah-olah menjadi budaya biasa sama ada dalam bidang perniagaan ataupun dalam kalangan pemerintah.

“Lebih buruk lagi ialah apabila orang ramai tidak marah dan tidak cukup lantang untuk mengatakan bahawa kita tidak menyetujui rasuah,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, sejak pandemik Covid-19 dan ekonomi negara tidak stabil rakyat mulai bangkit dan marah kerana aktiviti rasuah menyebabkan ramai menderita.

“Saya percaya kali ini seperti pilihan raya yang lalu, tidak ada ahli politik yang ‘rosak’ akan berpeluang untuk menjadi pemimpin. Rakyat semakin bersatu untuk pemerintahan yang bebas daripada rasuah,” kata beliau.

Jeffrey menegaskan penyebab utama masyarakat di negara ini tidak memerangi rasuah adalah kerana sikap mementingkan diri sendiri demi menjaga keuntungan peribadi dan bukan untuk kebaikan negara.“Mereka ingin menjadi sebahagian daripada kumpulan rasuah untuk memewahkan diri sendiri, walaupun tahu bahawa tindakan ini menimbulkan kesulitan kepada orang lain.

“Sebab itulah setiap individu harus menanamkan dalam diri ‘utamakan masyarakat’ dan bukan ‘utamakan diri sendiri’,” katanya.

Dalam pada itu, Jeffrey berkata, kempen Rasuah Busters adalah petunjuk kepada kesediaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bergabung demi mencapai negara bebas rasuah.

Menurutnya, penglibatan rakyat adalah elemen penting dalam membasmi rasuah.

“Apabila hanya NGO yang bersuara menentang rasuah, ia menggambarkan sikap tidak peduli rakyat.

“Saya mahu semua rakyat mengambil peranan aktif untuk mengambil berat tentang bangsa dan bukan hanya untuk menjaga keperluan mereka sendiri,” kata beliau.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here