berita rasuah bustersTak boleh lagi ada fulus, semua lulus

Tak boleh lagi ada fulus, semua lulus

LAPORAN Index Persepsi Rasuah 2020 yang dikeluarkan Transparency International (TI) dari 180 negara dan wilayah mempamerkan bahawa kedudukan Malaysia merosot enam anak tangga iaitu di tangga ke-57 berbanding dengan tangga ke-51 pada tahun 2019.

Singapura, sebaliknya berkongsi kedudukan dengan Finland dan Switzerland di tangga ketiga sebagai negara yang paling kurang rasuah. Di tangga teratas ialah Denmark dan New Zealand.

Bagaimana Singapura menjadi negara paling kurang rasuah?

Kejayaan Singapura di tangga atas, meninggalkan Malaysia yang tercorot jauh di belakang, bermula dengan iltizam dan ketegasan untuk memerangi rasuah tanpa pilih kasih.

Daripada awal lagi ‘mantra’ Singapura ialah rasuah itu salah dan hukuman berat menanti pesalah tidak kira siapa atau kedudukannya.

Di Malaysia, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa walaupun rasuah ditegah agama dan dikeji masyarakat, ia ibarat sudah menyerap ke dalam masyarakat dan sudah menjadi satu amalan dan budaya.

Sebuah forum SPRM mendedahkan bahawa 54 peratus daripada penjawat awam bawah umur 40 tahun terlibat dengan rasuah. Bagi penerima, rasuah menjadi jalan pintas untuk kaya, manakala untuk pemberi, rasuah mempermudahkan urusan.

Walaupun rasuah sudah berakar dan menjalar jauh dan merata, namun bukanlah sesuatu yang mustahil untuk memerangi dan membanteras rasuah.

Lihat sahaja Indonesia yang suatu masa dahulu ialah sebuah negara yang sinonim dan endemik dengan rasuah. ‘Bisa diatur’ dan ‘kalau ada fulus, semua boleh lulus’ menjadi ungkapan di bibir semua.

Pasca Reformasi membawa kepada penubuhan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) yang merupakan badan pembanterasan rasuah Indonesia yang kini amat digeruni semua.

Kejayaan KPK boleh dilihat dari tangkapan-tangkapan yang dibuatnya − ramai hakim, gabenor (menteri besar/ketua menteri), menteri, politikus, pegawai polis, ahli korporat, penjawat awam sehinggalah kepada pegawai negeri terjerat dan apabila sekali ditangkap jarang mereka bebas dan terlepas daripada pertuduhan.

KPK adalah bebas sepenuhnya dari kawalan eksekutif dan tidak bergantung langsung dengan Pejabat Peguam Negara. Itulah yang membuat rakyat Indonesia mempunyai keyakinan yang tinggi kepada KPK.

SPRM ditubuhkan pada tahun 2009 (enam tahun selepas KPK) menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR). SPRM pada masa ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Walaupun, banyak kejayaan SPRM, namun memandangkan SPRM diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, persepsi ramai ialah SPRM bukan bebas tetapi di bawah telunjuk Perdana Menteri dan SPRM lebih cenderung menjala ikan bilis daripada menjerat jerung.

Mungkin sudah sampai masa untuk memartabatkan SPRM sebagai satu badan yang benar-benar bebas dan telus. SPRM harus diletakkan di bawah pengawasan Parlimen.

Juga, kerajaan wajar memperkasakan undang-undang yang ada dan harus membuat kajian dan keberkesanan terhadap hukuman sedia ada untuk pesalah rasuah. Mungkin hukuman yang lebih berat dan penyitaan keseluruhan harta pesalah rasuah boleh menjadi satu pertimbangan.

Apa yang harus dibendung ialah pesalah rasuah dan keluarga terdekat ‘berjoli katak’ dengan hasil rasuah.

Rasuah merupakan isu nasional dan perang melawan rasuah adalah perang rakyat.

Sekiranya rasuah gagal ditangani, rasuah boleh menjadi barah yang akan menghancurkan negara.

Kita hanya perlu melihat negara-negara yang mana rasuah telah membinasakan negara.

Justeru, kempen Sinar Untuk Malaysia dan penubuhan Rasuah Busters oleh Sinar Harian harus dipuji dan tepat pada masanya.

Namun kejayaannya memerlukan rakyat bukan sahaja menyokong usaha murni tersebut tetapi juga bangkit dan bersama memerangi dan membanterasnya.

* Norman Fernandez adalah seorang pengamal undang-undang.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here