Tingkat kesedaran rasuah melalui seni dan budaya

0
420

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengadakan tiga program bagi meningkatkan kesedaran orang ramai memerangi rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, kerjasama strategik dilaksanakan melalui program berbentuk kebudayaan dan kesenian itu akan berlangsung dengan tema antirasuah.

Beliau berkata, ia merupakan antara usaha SPRM dalam memastikan mesej dan pendidikan mengenai rasuah dapat disebarkan kepada masyarakat dalam bentuk lebih santai dan bersahaja.

“Penyebaran luas mesej antirasuah dalam bentuk kebudayaan ini satu bentuk aktiviti yang boleh menarik lebih ramai penonton untuk mendekati SPRM, sekali gus menghayati apakah yang dikatakan rasuah serta cara mengatasinya.

“Kita cuba sampaikan mesej dalam bentuk lebih bersahaja dan berbentuk kemasyarakatan. Kita percaya mereka yang sukakan bentuk kebudayaan akan datang mendengar. Penonton tidak akan bosan berbanding hanya mendengar atau melihat aktiviti ilmiah dan akademik sahaja,” katanya ketika sidang akhbar Majlis Program Kerjasama Strategik JKKN dan SPRM Tahun 2021 di sini pada Selasa.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Azam berkata, program bersifat kebudayaan dan kemasyarakatan yang dilakukan SPRM sebelum ini mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat setempat.

Sementara itu, katanya, tiga program yang akan berlangsung itu ialah Kolokium Antirasuah bertajuk ‘Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegriti’, Pertandingan Battle of The Bands ‘Tak Nak Rasuah’ dan Pertandingan Dondang Sayang Pantun.

Beliau berkata, Kolokium Antirasuah akan berlangsung pada 26 Jun depan di Auditorium Kompleks JKKN Negeri Sembilan dengan diiringi ucaptama daripada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

“Pertandingan Battle of The Bands ‘Tak Nak Rasuah’ akan diadakan pada 4 September 2021 di Auditorium Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Selangor. Johan pertandingan akan menerima wang tunai sebanyak RM10,000.

“Bagi pertandingan Dondang Sayang Pantun Bertema Antirasuah pula, ia akan diadakan pada 16 dan 17 Ogos iaitu secara dalam talian di Panggung Seri Kompleks JKKN Melaka. Johan kategori dewasa akan membawa pulang sebanyak RM1,500 manakala johan bagi kategori kanak-kanak akan mendapat wang tunai sebanyak RM500,” ujarnya.

Sementara itu, Mesran berkata, selain daripada tiga negeri itu, JKKN sedang dalam perancangan untuk mengadakan program lain di setiap negeri dengan mengambil kita unsur kesenian dan kebudayaan di negeri terbabit.

Beliau berkata, ketiga-tiga program tersebut juga berlangsung dengan kerjasama Kumpulan Karangkraf dan MBPJ.

Dalam pada itu, Muhammad Nasir berkata, beliau berharap agar semua program yang akan dijalankan itu mencapai matlamatnya untuk memastikan gejala rasuah dapat dibanteras habis-habisan.

“Karangkraf menyambut baik dan menyokong setiap program dan usaha yang dilakukan mana-mana pihak untuk membasmi. Selain memberikan pendidikan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung terhadap bahaya rasuah,” katanya.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here