Balasan rasuah amat berat

0
526

BALASAN akibat amalan rasuah amat berat dalam Islam kerana ALLAH SWT melaknat individu yang terlibat dalam perbuatan tersebut sama ada pemberi atau penerima.

Pendakwah, Megat Mohd Zaid Megat Azmuddin berkata, apabila sesuatu perkara itu dikaitkan dengan laknat ALLAH SWT, maka ia masuk dalam kategori dosa besar.

“Mana-mana perbuatan yang dikaitkan dengan laknat dan kemurkaan ALLAH SWT, maknanya perbuatan itu ialah berdosa besar.

“Jika seseorang itu tidak berubah dan tidak bertaubat, maka kesannya akan menjejaskan kehidupannya sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.Megat Mohd Zaid berkata, punca peningkatan kegiatan rasuah dalam negara ini adalah disebabkan tiga perkara.

“Punca pertama ialah longgarnya pegangan dan keyakinan agama.

“Kalau kita beriman kepada akhirat, seseorang itu tidak akan berani mendekati rasuah kerana mereka tahu kesannya di akhirat nanti.“Kedua, kebanyakan rasuah yang berlaku ini adalah kerana sifat tamakkan dunia atau tidak cukup dengan kekayaan yang ada.

“Contohnya golongan penjawat awam dan pihak penguat kuasa yang terdedah dengan amalan rasuah.

“Ketiga ialah tidak berfikir panjang. Ini kerana kesan rasuah itu boleh merosakkan sistem negara, masyarakat dan masa depan anak-anak kita semua,” ujarnya.

Tambah beliau, kurangnya kesedaran mengenai impak gejala rasuah akan menyebabkan kerosakan terhadap sistem dan peraturan negara.

Katanya, meskipun perbuatan rasuah itu memberi kemewahan melalui jalan mudah, namun ia turut memberi kesan buruk kepada banyak pihak termasuk kepada pelaku serta keluarganya sendiri.

“Orang yang terlibat dengan rasuah itu sendiri hidupnya tidak akan tenteram. Anak dan isterinya juga akan ada banyak masalah dalam rumah tangga.

“Memang mereka dapat kemewahan tetapi kemewahan yang tiada berkat. Itu tidak membawa kepada kebahagiaan.

“Jadi perkara yang ditegah agama itu memang hikmahnya sangat besar kepada kehidupan kita,” jelas beliau.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here